Paya Lebar, macam-macam ada
AYER LIMAU 13 Januari – Wajah baharu Paya Lebar, Ramuan China Besar, Masjid Tanah yang dijenamakan semula sebagai lokasi eko pelancongan mula mendapat perhatian pelbagai pihak.
Usaha Kerajaan Negeri itu diyakini mampu mencapai objektif utamanya iaitu membawa limpahan ekonomi kepada penduduk khususnya nelayan sungai pengusaha produk makanan tempatan kini mula merasai impak pembangunan dijalankan.
Nelayan tempatan Abd Maulud Idris, 61, ketika ditemui berkata trasformasi dilakukan Kerajaan Negeri itu mampu menjadikan Paya Lebar sebagai sebuah lokasi pelancongan terkemuka Malaysia tidak lama lagi.
Dia yang sudah 30 tahun menjadi nelayan berasa amat bangga dengan perubahan fizikal Paya Lebar dijayakan menerusi fasa satu projek itu.
“Saya tidak sabar untuk lihat pembangunan fasa kedua, syukur alhamdulillah. Pembangunan ini secara simbolik memartabatkan kami sebagai nelayan yang sekian lama menghidupkan sungai ini.
“Jika sudah dibuka kepada orang ramai kelak, saya yakin kami nelayan juga akan menikmati limpahan ekonomi. Saya harap lebih banyak jeti baharu dibina, hasil tangkapan sungai boleh ditambah nilai jika diproses menjadi pelbagai produk makanan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Projek siap sepenuhnya bulan lalu itu membabitkan pembinaan empat jeti dan laluan pejalan kaki sepanjang 100 meter yang menelan kos RM2.6 juta.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Paya Lebar, Mohd Nor Ibrahim, 64, berkata, usaha itu bakal merancakkan lagi lokasi berkenaan yang sebelum ini tersohor dengan aktiviti memancing udang galah dan sumber produk ikan air tawar.
“Bagi yang mahukan kelainan Paya Lebar adalah tempatnya. Memang menarik kerana sungai ini adalah habitat hidupan eksotik seperti buaya tembaga, reptilia termasuk ular sawa dan pada waktu malam suasananya indah dengan kerdipan cahaya kunang-kunang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.