Sorting by

×

PAWE baharu di DUN Sungai Rambai

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 30 November – Sebuah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang baharu akan dibina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, usaha itu adalah antara persediaan Negeri Melaka ke arah negara menua menjelang 2030.

Katanya, inisiatif Kerajaan Negeri Menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu juga adalah hasil permohonan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Sambai Siti Faizah Abd Azis.

“Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk mengimarahkan warga emas dengan menubuhkan PAWE. Setakat ini enam PAWE beroperasi di Melaka iaitu tiga di Melaka Tengah, dua di Alor Gajah dan satu lagi di Jasin.

“PAWE keenam di DUN Taboh Naning baharu sahaja beroperasi, kemudahan ini menyediakan pelbagai aktiviti termasuk riadah, rekreasi dan pemulihan untuk warga emas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) pada Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri bersama JKM sentiasa turun padang bagi menyantuni dan turut terbabit sama dalam aktiviti anjuran PAWE.

Kalsom berkata, menerusi pendekatan itu pihaknya secara tidak langsung dapat menyantuni dan memberi sokongan kepada warga emas yang mengharungi hari tua.

“Persekitaran PAWE turut diberikan perhatian, premis ini sentiasa diperindahkan dan dilengkapi dengan keperluan sesuai dengan kehendak warga emas, kita mahu berikan kehidupan terbaik buat mereka.

“Malah kita juga dalam perancangan untuk membina rumah jagaan bagi menempatkan warga emas mengikut agama, sekali gus memberikan keselesaan dan memudahkan mereka ini melakukan aktiviti harian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3778
Kongsi :
Previous post Sasar anak muda sertai Paramedik Komuniti
Next post Antara bonus tertinggi pernah diterima, terima kasih Kerajaan Negeri Melaka! 
Ubah saiz-+=