Pavilion Dataran Pahlawan promosi produk tempatan
KOTA LAKSAMANA 15 Oktober – Kerajaan Negeri akan mewujudkan pavilion di Dataran Pahlawan, Banda Hilir bagi mempamerkan produk tempatan di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, produk yang akan dipamerkan itu meliputi produk pelancongan, kesihatan, pendidikan dan pelaburan.
“Pavilion ini akan didirikan secara kekal selama setahun dan akan turut diisi dengan pelbagai program dan aktiviti menarik.
“Ini salah satu usaha kita bagi mempromosikan produk negeri Melaka dan acara yang dirancangkan sepanjang 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Gotong-royong Perdana Sungai Melaka Fasa ll di Taman Rempah di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.
Turut hadir Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Ujarnya lagi, pelbagai inisiatif terbaik dilakukan untuk pelancong dan pengunjung yang datang ke Melaka.
“Ia termasuklah mengadakan cabutan bertuah setiap tiga bulan dengan hadiah utamanya adalah sebuah kereta.
“Ada beberapa syarat yang ditetapkan seperti pelancong perlu bermalam dua malam di hotel-hotel terpilih untuk menjayakan inisiatif ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.