‘Patung batik’ lonjak nama Kampung Rim
RIM 27 Disember – Hanya menggunakan ruangan kecil di sebelah rumah sebagai bengkel menghasilkan patung batik (soft toys), Mazlina Abdul Majid, 51, kini mampu memasarkan produknya sehingga ke United Kingdom (UK).
Minat itu juga terhasil selepas Mazlina disahkan mengalami masalah sakit tulang belakang (slipped disc) pada tahun 2017 dan memaksanya agar tidak lagi melakukan kerja-kerja berat.
Bermotifkan haiwan seperti dinasour, kucing, gajah, floral dan produk berindentitikan Negeri Melaka penghasilan produk itu kini mendapat sambutan sehingga ke pasaran luar negara menerusi platform secara dalam talian.
“Selepas disahkan ada sakit tulang belakang saya terpaksa berhenti kerja di kilang, waktu itu saya terfikir untuk terlibat dalam penghasilan ‘soft toys’ ini, jadi saya ikuti kursus ‘Quick Win’ dengan kerjasama Kraftangan Malaysia.
“Bermula dari situ saya belajar bagaimana untuk ceburi bidang perniagaan ‘soft toys’, alhamdulillah pada tahun 2019 selepas mendapat sedikit ilmu saya mula cuba menghasilkan produk kraf tangan sendiri.
“Keistimewaan produk ini adalah saya buat daripada batik keluaran saya sendiri, terdapat pelbagai motif dan sudah tentu ia mengetengahkan warisan Melaka,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Jalan Penghulu Andak, Kampung Rim di sini.
Ibu kepada enam anak itu cekal meneruskan minatnya dalam seni kraf tangan apabila setiap bulan dia mampu menghasilkan kira-kira 200 produk dengan pelbagai rekaan.
“Sambutan orang ramai alhamdulillah sangat memuaskan, produk kraf tangan saya juga boleh dijadikan sebagai cenderahati, pernah juga saya dapat permintaan mencecah sehingga 4,000 patung batik.
“Setakat ini produk saya sudah masuk ke pasaran UK (secara dalam talian), Mycraftshoppe, Shopee dan pelbagai lagi platform dengan harga bagi setiap produk bermula dari RM12 hingga RM120 mengikut saiz,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.