Patuhi SOP, sesi persekolahan dapat diteruskan dengan selamat
BANGI 5 April. – Pelajar, guru dan warga sekolah diingatkan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pada setiap masa bagi memastikan sesi persekolahan dapat diteruskan dengan selamat, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.
Beliau berkata pelajar terutamanya perlu sentiasa mematuhi SOP sewaktu tiba di sekolah dan semasa proses penyuraian selepas tamat sesi persekolahan bagi mengelak penularan COVID-19 dalam kalangan mereka dan juga warga sekolah.
“Kita sudah ada SOP cukup lengkap dan teratur, apa yang penting adalah pematuhan, ibu bapa juga perlu sentiasa mengingatkan anak-anak supaya mematuhi SOP ditetapkan.
“Kita tekankan kepada pihak sekolah setiap SOP yang ditetapkan itu mestilah dipatuhi dan murid perlu sentiasa diingatkan agar mematuhi SOP,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Abu Bakar Baginda, Sungai Merab di Bandar Baru Bangi pada hari pertama pembukaan semula sekolah menengah untuk Kumpulan B.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.
Pembukaan semula sekolah menengah pada 4 April (semalam) melibatkan Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala Kumpulan B memulakan persekolahan pada hari ini.
Dalam pada itu, Radzi berpuas hati dengan perjalanan pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka membabitkan sekolah menengah pada hari ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.