Patuhi SOP ketat JAIM nikah di masjid
TANJUNG BIDARA 25 Ogos – Kebenaran yang diberikan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) kepada pasangan pengantin untuk bernikah di masjid mulai Jumaat lalu, hari ini membolehkan sepasang pengantin melangsungkan detik indah dan bermakna dalam hidup mereka.
Dengan memilih Masjid al-Jawahir, Pengkalan Balak, di sini sebagai lokasi pernikahan, Muhammad Asyraf Stenlly Nius, 29, dan Norhafizah Zaharuddin, 28, melakar sejarah indah dalam kehidupan apabila selamat dinikahkan.
Mereka tidak menghiraukan sunyi dan sepi tanpa suara sanak saudara dan rakan taulan pada majlis pernikahan, asalkan ia sah dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat.
Selepas lebih dua bulan tidak dibenarkan bernikah di masjid berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak 1 Jun lalu, mereka muncul sebagai antara pasangan terawal yang melangsungkan pernikahan di masjid.
Pernikahan yang disempurnakan sendiri oleh wali, Zaharuddin Dahil, 64, pada jam 10 pagi itu berlangsung dengan mematuhi SOP ketat ditetapkan JAIM, iaitu dengan kehadiran hanya tujuh orang dalam ruang masjid.
Turut hadir ialah Imam I, Hilmi Saleh yang bertindak sebagai Pendaftar Nikah dan dua saksi, iaitu Imam II Muhammad Azhan Abdul Rahim dan Setiausaha masjid, Rabani Shukor serta kakak ipar Norhafizah, Norbaizura Kamal Rusli.
Muhammad Asyraf berkata, dia terpaksa melupakan aspek anggota keluarga, saudara mara dan rakan yang lazimnya memenuhi ruang dalam masjid untuk menyaksikan majlis itu, demi mematuhi SOP ditetapkan JAIM.
“Kalau ikutkan hati, biarlah saat indah ini disaksikan ramai anggota keluarga, selain sanak saudara dan rakan taulan tetapi kita sekarang bertarung dengan pandemik COVID-19 dan kita harus mematuhi SOP ketat,” katanya.
Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Subang, Selangor itu adalah dari etnik Dusun yang berasal dari Tambunan, Sabah dan memeluk Islam pada 2017.
Norhafizah berkata, dia dan suami bertunang setahun lalu dan bersyukur menjadi isteri yang sah kepada Muhammad Asyraf walaupun melalui detik pernikahan tanpa kehadiran lebih ramai anggota keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.
“Alhamdulillah, segala keperluan untuk mematuhi SOP ini sudah kami penuhi dengan melakukan ujian calitan tiga hari sebelum bernikah dan hanya tujuh orang yang hadir di sini,” katanya.
Zaharuddin, 64, berkata oleh sebab tidak dibenarkan menganjurkan kenduri kahwin, anggota keluarganya menyediakan nasi briyani ayam untuk disedekahkan kepada jiran tetangga di Kampung Padang Dekat, di sini.
“Insya-Allah selepas PKP tamat, kami merancang menganjurkan majlis kenduri kahwin untuk meraikan pasangan pengantin dan bersedekah makan kepada anggota komuniti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.