PATI cuba masuk negara awal pagi tumpas

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KUALA LINGGI 18 Oktober – Cubaan sembilan lelaki warga Indonesia yang masuk ke dalam negara secara haram menggunakan jalan laut berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan.

Kesemua mereka yang dipercayai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dikesan di perairan Tanjung Rhu, Selangor.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) telah mengesan satu kontek curiga di dari laluan Skim Pemisah Trafik (TSS) menuju ke Tanjung Tumbuk.

Daripada maklumat yang diterima, katanya, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang membuat rondaan Op Murni/Op Tiris Fasa 2.0 telah diatur gerak ke lokasi sehingga berjaya memintas bot suspek di kedudukan lebih kurang 0.7 batu nautika barat daya Tanjung Rhu, Selangor sekitar pukul 1.00 pagi.

“Pemeriksaan ke atas bot gentian kaca warna kelabu putih menggunakan dua enjin yamaha 200 kuasa kuda, mendapati seorang tekong, tiga awak-awak dan lima penumpang warganegara Indonesia dipercayai PATI masing-masing berumur antara 23 hingga 47 tahun berada di dalam bot terbabit.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka gagal mempamerkan dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai memasuki Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan,” katanya.

Menurut beliau, bot dan suspek ditahan seterusnya dibawa ke Jeti Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Maritim Malaysia sentiasa peka dan serius melaksanakan pemantauan operasi dan penguatkuasaan undang-undang agar perairan negara selamat daripada sebarang aktiviti yang menggugat keselamatan negara.

“Bagi membanteras kegiatan seperti itu, orang ramai diminta untuk membantu pihak Maritim Malaysia dengan menyalurkan sebarang maklumat salah laku di laut ke Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1404
Kongsi :
Previous post UTeM, University of Galati Romania kukuh kerjasama
Next post Bas kilang guna cukai jalan palsu
Ubah saiz-+=