Sorting by

×

Pasukan khas JPJ pantau kenderaan lebih had muatan

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BUKIT KATIL 25 April – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka menubuhkan empat pasukan khas bagi mengendalikan kes kenderaan berat dipandu melebihi had muatan sehingga menimbulkan rasa tidak selamat pengguna jalan raya lain.

Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, pasukan khas itu akan menjalankan pemantauan terhadap kenderaan berat seluruh Melaka khusus laluan sempadan antara daerah.

“Pasukan ini membabitkan 16 pegawai penguatkuasa yang akan menjalankan pemantauan 24 jam sehari. Fokus kami adalah kenderaan berat yang membawa muatan melebihi 70 peratus daripada had dibenarkan.

“Tidak ada lokasi khas sebaliknya penguatkuasaan membabitkan semua tiga daerah terutamanya pinggir Melaka iaitu sempadan daerah-daerah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri JPJ Melaka, di Ibu Pejabat JPJ negeri di Bukit Katil, di sini, hari ini.

Sambutan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan serta Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Hadir sama Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem serta Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Zahari Abd Kalil.

Menurutnya, dalam tempoh tiga bulan pertama 2024, pasukan khas ditubuhkan berjaya menghasilkan lebih 40 kes kenderaan membawa muatan melebihi had dibenarkan.

“Operasi ini diteruskan secara konsisten dalam usaha memastikan semua pihak mematuhi peraturan had muatan dibenarkan,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilapor berkata, kenderaan berat dengan muatan berlebihan menjadi satu masalah besar dan antara penyumbang kemalangan jalan raya.

Susulan itu, katanya, isu muatan berlebihan perlu diatasi dengan tindakan tegas menerusi penguatkuasaan bagi mengelak permasalahan itu terus berlanjutan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

722
Kongsi :
Previous post MAQIS rampas cili tanpa permit dari Indonesia
Next post Persembahan pembukaan Panggung Bangsawan tawan hati pengunjung
Ubah saiz-+=