Sorting by

×

Pasukan debat Melaka International School harumkan nama Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

TENGKERA 29 Julai – Pasukan debat Melaka International School (MIS) yakin dapat merekodkan pencapaian terbaik pada pertandingan peringkat dunia ‘World Scholar’s Cup-Tournament of Champion’ yang akan diadakan di Yale University, Amerika Syarikat pada 8 hingga 22 November depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MIS, Shamsunnisa Abd Jabbar berkata, seramai tujuh pelajarnya akan mewakili Malaysia ke Amerika Syarikat dengan misi untuk memburu kejuaraan.

“Sudah pasti kita mahukan pencapaian terbaik di peringkat dunia walaupun akan berdepan dengan kira-kira 1,500 penyertaan dari seluruh pelosok dunia, satu-satunya trofi kejohanan memang impian kami.

“Segala persiapan dan latihan kini giat dijalankan tujuh peserta yang terdiri daripada pasukan junior dan senior kerana ia membabitkan beberapa kategori antaranya penulisan karangan dan debat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Meraikan Pelajar Melaka International School yang turut dihadiri Pengetua MIS Noor Zaidi Mohd Noor, hari ini.

Menurutnya, sebelum ini pasukan debat MIS berjaya mencipta kejayaan pada pertandingan di peringkat wilayah yang berlangsung di Pulau Pinang, April lalu dan dan melayakkan diri ke ‘World Scholar’s Cup Dubai Global Round’ di Emeriah Arab Bersatu (UAE), pada Julai.

Ujarnya, pada pertandingan itu, MIS berjaya merangkul 27 pingat termasuk 17 pingat emas daripada empat kategori yang disertai.

Sementara itu, peserta Paulene Suarez, 15, berkata, pertandingan ini adalah sesuatu yang amat mencabar kerana ia membabitkan pelbagai topik akademik termasuk sains, sejarah serta teknologi.

“Apabila bertanding di peringkat global sudah pasti perasaan takut dan gementar itu ada tetapi dengan semangat yang ditunjuk rakan-rakan kami dapat memberi semangat antara satu sama lain.

“Bagi persiapan untuk ke Amerika Syarikat kini kami giat berlatih, setiap hari selepas tamat sesi persekolahan akan diadakan latihan. Kami lihat kembali beberapa kesilapan yang dilakukan sebelum ini untuk diperbaiki dan tidak ulangi lagi nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2144
Kongsi :
Previous post Polis tahan tiga lelaki dipercayai terlibat dua kes samun
Next post Polis Bantuan, pemandu antara terima APC UTeM
Ubah saiz-+=