
PASTIKAN TABIKA KEMAS DI MELAKA DALAM KEADAAN TERBAIK
PENGKALAN BATU 17 Februari – Kerajaan Negeri memberi jaminan akan memastikan murid-murid yang mendapat pendidikan awal di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di seluruh Melaka berada dalam keadaan baik dan selesa.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya sedia maklum bahawa masih ada Tabika KEMAS yang menumpang di balai raya terutamanya di kawasan kampung.
“Saya sendiri sudah maklum kepada Pengarah KEMAS negeri anak-anak kita tidak boleh belajar dalam keadaan yang tidak selesa dan ia perlu diperiksa.
“Berikutan itu kita akan menjelajah ke seluruh Negeri Melaka untuk memastikan bahawa Tabika Kemas berada dalam keadaan baik dan anak-anak dapat belajar dalam suasana yang selesa,” katanya.
Dr. Muhamad Akmal berkata demikian ketika ditemui selepas program ziarah kasih dan lawatan ke Tabika Kemas Bukit Piatu Utara bersama-sama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin, hari ini.
Beliau yang juga Adun Merlimau berkata, pihaknya meminta orang ramai menyalurkan maklumat membabitkan infrastruktur Tabika KEMAS yang uzur dan tidak selesa kepada pihaknya.
“Jika ada mana-mana Tabika KEMAS di Melaka ini yang dirasakan tidak selesa untuk anak-anak belajar, boleh maklumkan terus kepada Yang Berhormat (YB), kawasan atau secara terus kepada saya.
“Ia bagi memastikan tindakan segera dapat diambil dan anak-anak boleh belajar dengan selesa,” katanya.
Terdahulu, Dr. Muhamad Akmal berkata, isu berbangkit membabitkan Tabika KEMAS Bukit Piatu Utara yang diminta untuk berpindah ke lokasi lain dapat diselesaikan.
“Bukan itu sahaja malah dalam lawatan dilakukan kita juga mengesan dua tiga perkara lain yang perlu diberi perhatian dan ini akan diambil tindakan segera.
“Inilah pelaksanaan WRUR kerana kita dapat melihat sendiri setiap pemasalahan yang ada dan kemudiannya disusuli dengan tindakan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.