Sorting by

×

Pastikan rumah di Melaka mampu milik, mampu jual – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

ALOR GAJAH 12 Jan – Kerajaan negeri akan memastikan perumahan di Melaka ditawarkan pada harga berpatutan bagi memastikan lebih ramai rakyat memiliki rumah sendiri.

Exco Perumahan Datuk Zaidi Attan berkata, inisiatif itu juga dilakukan dalam usaha memastikan rumah yang dibina habis terjual.

Jelas beliau, antara langkah yang diambil ialah menyediakan lebih banyak rumah mampu milik (RMM) sesuai dengan keperluan rakyat dalam golongan B40 dan M40 di negeri ini.

“Kita akan menyediakan rumah-rumah mampu milik yang lebih banyak dan sesuai dengan keperluan rakyat yang mempunyai pendapatan rendah termasuk juga untuk golongan M40.

“Jadi kita perlu ada penyelarasan, permintaan dan penawaran dalam skop pembinaan rumah di Melaka untuk memastikan rumah yang dibina akan habis terjual,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Pelekat Kenderaan Media Negeri Melaka Tahun 2022 di Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) di sini hari ini.

ZAIDI

Mengulas lanjut, Zaidi berkata kerajaan negeri juga akan memastikan pembinaan rumah-rumah mampu milik itu teratur dalam penggunaan kadar guna tanah yang maksima.

“Kita akan menguruskan dasar-dasar guna tanah ini lebih pragmatik di Melaka dan pembinaan rumah-rumah ini juga akan lebih teratur,” katanya.

Dalam pada itu, Zaidi berkata, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pemaju perumahan yang membina rumah tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Seperti contoh apa yang berlaku di perumahan baharu di kawasab Durian Tunggal apabila terdapat rumah yang retak dan berlaku kerosakan struktur bangunan.

“Hal itu mungkin disebabkan pengaliran air di bawah tanah, jadi esok saya bersama Jabatan Pengairan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan berjumpa pemaju untuk melihat sendiri kerosakan fizikal bangunan yang ada,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2333
Kongsi :
Previous post Melaka laksana strategi kurangkan kesesakan jalan raya
Next post Shebby Singh meninggal dunia
Ubah saiz-+=