PASTIKAN INISIATIF BAJET 2025 MELAKA SAMPAI KEPADA RAKYAT – KM
AYER KEROH 13 Januari – Semua inisiatif Bajet 2025 Negeri Melaka yang telah dibentangkan 27 Disember lalu perlu dilaksanakan secara sistematik dan berkesan agar impak manfaatnya sampai kepada rakyat.
Tegas Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, semua jabatan dan agensi terlibat perlu memastikan inisiatif tersebut dapat dilaksanakan dengan pantas.
Beliau turut menyarankan agar jadual agihan dan pelaksanaan program diatur supaya menepati masa yang telah dirancang.
“Saya tidak mahu rakyat berada dalam keadaan teraba-raba dan samar, mengenai inisiatif, rencana dan hala tuju pembangunan yang sedang digembleng oleh kerajaan.
“Kita mahu setiap bantuan yang dijanjikan bukan sahaja sampai ke tangan rakyat tetapi diterima tepat pada masanya.
“Saya juga mahukan segala rancangan pembangunan negeri demi kesejahteraan rakyat dihebahkan dan diketahui oleh rakyat agar mereka dapat memantau dan menilai pencapaian sasaran seperti yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 di Grand Ballroom, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Ketua Menteri turut meminta agensi negeri yang diamanahkan untuk menguruskan hal-hal berkenaan untuk memberi laporan dan membuat hebahan berkaitan inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.