Pasir Mas, Tumpat ‘lokasi panas’ seludup mercun di Kelantan – Polis
KOTA BHARU, 7 April – Polis Kelantan mengenal pasti dua jajahan iaitu Pasir Mas dan Tumpat sebagai ‘lokasi panas’ bagi kegiatan penyeludupan masuk mercun dan bunga api menjelang musim perayaan tidak lama lagi.
Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata Unit Anjing Pengesan (K9) dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor diarahkan membuat pemantauan di lokasi terbabit dan perairan yang sering menjadi tumpuan penyeludup.
Beliau berkata permintaan terhadap produk berkenaan lazimnya meningkat menjelang Aidilfitri dan pastinya penyeludup cuba membawa masuk mercun dan bunga api ke negara ini.
“Pihak polis akan sedaya upaya menangani masalah itu dan Ketua Polis Daerah (KPD) di kawasan terbabit telah diarahkan supaya mengetatkan lagi pemeriksaan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti.
“Kita juga percaya kemungkinan harga mercun dan bunga api akan dijual dua kali ganda berbanding harga diperoleh ekoran kesukaran membawa masuk ke negeri ini kerana kawalan ketat polis,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar Ketua Polis Kelantan Bersama Pengamal Media Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini semalam.
Mengulas lanjut, Shafien berkata beberapa siri tangkapan melibatkan mercun dan bunga api di kawasan sempadan yang dilakukan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) turut berjaya menghalang barangan tersebut memasuki jajahan lain seperti Kota Bharu.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.