PASCA-COVID-19: KBS terus teroka ruang baharu atasi isu pengangguran belia

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus meneroka ruang baharu untuk dimanfaatkan golongan belia khususnya bagi mengatasi isu pengangguran belia secara efektif dan holistik, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Dalam sesi jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata KBS melalui inisiatif kolaborasi rentas kementerian akan bekerjasama dengan kementerian lain untuk memastikan kebajikan golongan belia di negara ini terjaga.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Steven Choong Shiau Yoon (PH-Tebrau) yang ingin tahu situasi pekerjaan belia ketika penularan wabak COVID-19 dan apakah inisiatif kerajaan bagi membantu belia yang terjejas akibat pandemik COVID-19 terutamanya isu pekerjaan.

Bagi mengatasi isu pengangguran dalam kalangan belia pasca-COVID-19, Wan Ahmad Fayhsal berkata antara insiatif dilaksana KBS adalah melancarkan Skim Perantisan Nasional (SPN) pada 23 Julai lepas.

“Sehingga 3 Ogos lepas, seramai 903 belia telah berdaftar untuk SPN,” katanya sambil menambah skim itu akan memberi pengalaman bekerja kepada golongan belia melalui jaminan pekerjaan oleh syarikat atau organisasi yang terlibat serta membantu melonjakkan kebolehpasaran belia pasca-COVID-19.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata inisiatif lain yang dilaksanakan KBS adalah menerajui pembangunan Single Landing Page atau pusat sehenti yang dinamakan Sistem MyBelia.

“Sistem ini menyediakan maklumat bersepadu mengenai inisiatif-inisiatif disediakan kerajaan dan bukan kerajaan yang merangkumi peluang pekerjaan, penciptaan pekerjaan, latihan dan kemahiran serta dana dan kemudahan yang ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata kementerian itu juga telah melaksanakan Program myGIG dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pada Jun lepas untuk meningkatkan keterlibatan belia dalam ekonomi gig atau ekonomi perkongsian bagi menjana pendapatan, sama ada secara sambilan atau kekal.

“Program itu terdiri daripada myGIG Servis yang menggunakan platform e-Rezeki, dengan sokongan Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai rakan strategik. Program ini dijangka memberi manfaat kepada 1,000 orang (578 belia sudah berdaftar).

“myGIG Digital Freelance menerusi platform Global Online Workforce (GLOW) dijangka memberi manfaat kepada 1,000 orang (632 orang sudah berdaftar). Program ini memperkenalkan peluang pekerjaan baharu secara digital dengan kemahiran tertentu seperti ‘programming’, pereka grafik dan lain-lain perkhidmatan bernilai tambah tinggi,” katanya.- BERNAMA

Views:

439
Kongsi :
Previous post Rakyat Malaysia di Lubnan selamat – Hishammuddin
Next post Pos Malaysia sedia alternatif susulan penggantungan sementara perkhidmatan antarabangsa
Ubah saiz-+=