PASAR TERAPUNG, PASAR PINK JADI TUMPUAN ‘KAKI MAKAN’

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

BANDARAYA MELAKA 1 September – Menawarkan pelbagai variasi juadah yang pastinya memenuhi citarasa pengunjung menjadikan Windmill Pink Market dan Melaka Floating Market bukan sahaja lokasi wajib dikunjungi malah antara ‘syurga makanan’ di negeri ini.

Tinjauan Melaka Hari Ini pada Program Melaka Bila Larut Malam Edisi 31 Ogos, malam tadi mendapati suasana di kedua-dua lokasi meriah apabila dipenuhi pengunjung seawal jam 8 malam.

Malah, peniaga juga dilihat tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan yang ingin mencuba juadah dijual.

Selain makanan, ‘ala thai’ turut dijual pelbagai jenis pencuci mulut dan makanan arab seperti shawarma.

Bagi pengunjung, Noraida Faizal, 22 berkata, kepelbagaian makanan yang ada di situ, menyebabkan kawasan berkenaan sering menjadi pilihannya untuk bersantai sambil menikmati keindahan malam.

“Tarikan di sini adalah makanannya, yang pasti kalau datang sekali sahaja tidak dapat merasai semua makanan yang dijual.

“Menariknya dan tiada di tempat lain adalah aiskrim tempurung kelapa. Ini adalah menu wajib yang akan dibeli apabila berkunjung ke sini.

“Malah harga makanan yang dijual di sini juga tidak terlalu mahal dan berpatutan,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Dataran Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), di sini.

Menurut pelajar institut pengajian tinggi (IPT) itu, kedua-dua lokasi ini juga amat sesuai untuk mereka yang berkeluarga untuk meluangkan masa hujung minggu.

Img 20240901 075905 129
PENGUNJUNG bergambar di Windmill Pink Market Dataran Pengkalan Rama sempena Melaka Bila Larut Malam. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Sementara itu, Muhammad Syazwan Fitri Mohd Roni berkata, sebagai peniaga dia amat bersyukur kerana jumlah pengunjung saban minggu semakin bertambah dan jualannya juga turut meningkat.

“Berbanding awal pembukaan dulu, kini saban minggu pengunjung makin bertambah dan jualan juga meningkat, boleh dikatakan saya dapat menjual sehingga 100 biji burger.

“Malah pada minggu sempena program Melaka Bila Larut Malam suasana di sini lebih meriah dan padat dengan kunjungan pengunjung apabila bukan sahaja orang tempatan tetapi pelancong dari luar seperti Singapura dan Indonesia juga datang ke sini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5506
Kongsi :
Previous post MELAKA RIVER CRUISE LARIS MALAM 31 OGOS
Next post PPSPM PERKENAL PRODUK BAHARU ‘DINING CRUISE’, RESTORAN TERAPUNG
Ubah saiz-+=