Sorting by

×

PASAR RAYA MENGHADAP LAUT, BAKAL JADI TARIKAN BAHARU MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KOTA LAKSAMANA 5 Disember – Rakyat Melaka bakal mempunyai lokasi baharu untuk bersantai dengan pembinaan sebuah pusat beli-belah menawarkan pemandangan menghadap laut yang menarik dijangka siap pada awal 2027.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, projek itu dibangunkan oleh Parkland Group di Parkland Avenue By The Sea menerusi kerjasama dengan pengendali pasaraya Village Grocer.

Katanya, apabila siap kelak rakyat Melaka khususnya mempunyai pilihan untuk mendapatkan barangan keperluan asas di sebuah pasar raya yang menawarkan suasana dan pemandangan yang menarik.

“Pusat beli-belah berkeluasan keseluruhan 200,000 kaki persegi ini juga akan melibatkan operasi beberapa restoran terkemuka. Kerajaan Negeri amat menyokong hasrat Parkland Group untuk membina kemudahan seperti laluan pejalan kaki berbumbung dari Parkland Avenue By The Sea sehingga ke kawasan berhampiran Sungai Melaka.

“Pejalan kaki selepas ini dapat menikmati pemandangan sambil mengunjungi destinasi pelancongan seperti Jonker Walk, Bangunan Stadthuys dan Kota A’Famosa,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Parkland Avenue By The Sea dan Pemeteraian Perjanjian Bersama Village Grocer di Parkland Group, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Yang turut hadir Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin dan Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana, Low Chee Leong serta Pengarah Urusan Parkland Group, Datuk Victor Tan.

Terdahulu, Ab Rauf turut menjadi saksi Majlis Menandatangani Perjanjian antara Parkland Group dan Village Grocer.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5175
Kongsi :
Previous post PEMBANGUNAN HARTANAH TARIK MINAT PELABUR KE MELAKA
Next post JARINGAN JALAN BAHARU PERSIARAN KOTA SYAHBANDAR – KLEBANG
Ubah saiz-+=