PASAR RAYA DIDENDA RM20,000 JUAL KOSMETIK TANPA NOTIFIKASI KKM
KUALA LUMPUR 9 September – Syarikat pemborong dan peruncit Mydin Mohamed Holdings Berhad didenda RM20,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menjual kosmetik tanpa notifikasi Kementerian Kesihatan (KKM), tahun lepas.
Majistret Farah Nabihah Muhammad Din menjatuhkan hukuman itu terhadap syarikat berkenaan yang diwakili Raja Azlan Raja Ismail, 40, dan Roslizan Mohd Zin, 50, selepas mereka mengaku bersalah atas dua pertuduhan.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua individu itu selaku Orang Kena Saman (OKS) membayar denda masing-masing RM10,000 atau penjara setahun jika gagal membayar denda. Mereka membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, OKS didakwa menjual 209 kotak dan 23 set ubat gigi pelbagai perisa yang bukan kosmetik bernotifikasi di pasar raya itu di Taman Danau Kota dan Kompleks Sinar Kota di sini pada 11 pagi, 18 Julai 2023.
Pertuduhan mengikut Peraturan 18A(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(2) Akta Jualan Dadah 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 bagi kesalahan kali pertama dan maksimum RM100,000 bagi kesalahan kedua dan berikutnya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya Siti Nur Sarahidah Jayatan manakala kedua-dua OKS tidak diwakili peguam. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.