Pasar Borong Batu Berendam tutup tiga hari, disyaki peniaga positif COVID-19
BATU BERENDAM 19 Mei. – Pasar Borong Batu Berendam terpaksa ditutup sementara bermula hari ini sehingga Jumaat berikutan terdapat peniaga di pasar itu yang disyaki positif COVID-19.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman berkata, penutupan itu dilakukan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) bagi kerja-kerja sanitasi dan pembersihan pasar.
“Pasar itu bukan ditutup tanpa notis, semalam kita dah maklumkan kepada peniaga sebab ini adalah nasihat daripada KKM untuk tutup. Namun saya masih benarkan perniaga berniaga sehingga awal pagi tadi sebelum ditutup sepenuhnya.
“Kita bagi tempoh tiga hari kerana kita syaki ada peniaga yang positif COVID-19 sebab itu tutup dulu untuk sanitasi dan bersihkan semua kawasan bagi memastikan pasar itu selamat,” katanya kepada MHI.
Jelasnya, langkah awal itu diambil bagi mengelakkan wujudnya kluster baharu iautu Kluster Pasar Borong sekiranya didapati terdapat kes COVID-19 di situ.
“Kita risau sekarang kes COVID-19 meningkat, kalau kita tak dapat jaga kebersihan di kawasan ini takut jadi punca ada kluster pasar borong.
“Jika disahkan ada kes positif kita akan tutup pasar borong selama 14 hari, tapi sebagai langkah keselamatan kita tutup tiga hari untuk bersihkan dulu sebelum ada penyakit berjangkit,” katanya lagi.
Katanya terdapat lebih 100 peniaga pasar borong yang diarahkan supaya tidak berniaga selama tiga hari.
“Kerja-kerja sanitasi mulai hari ini sehingga Jumaat termasuk pembersihan.
“Lebih 100 peniaga ada di sini, mereka dah dimaklumkan semalam, Sabtu ini mereka dah boleh mula niaga semula.
“Peniaga bahagian mana yang syaki ada kes positif kita tak pasti sebab belum ada keputusan rasmi KKM, tapi ada peniaga yang sudah pergi buat ujian calitan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.