Pasar Borong Batu Berendam dijangka buka semula Sabtu ini

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

PENGKALAN BATU 20 Mei. – Pasar Borong Batu Berendam yang ditutup sejak semalam dijangka akan beroperasi semula pada Sabtu ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman berkata, ia berikutan segala kerja-kerja sanitasi dan pembersihan sudah selesai dijalankan.

Beliau menjelaskan penutupan pasar borong berkenaan sebagai langkah pencegahan awal berikutan terdapat tujuh peniaga menjadi kontak rapat kepada individu positif COVID-19.

“Kita sudah laksanakan sanitasi dan pembersihan kawasan sekitar. Insya-allah jika tiada apa-apa masalah, pasar berkenaan boleh beroperasi semula pada Sabtu ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shadan memaklumkan pihaknya akan menggandakan pemantauan di restoran dan medan selera sekitar Hang Tuah Jaya bagi memastikan tiada peniaga yang membenarkan pengunjung makan di kedai.

Ia berikutan terdapat aduan bahawa pengunjung makan dan minum di kedai sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pegerakan 3.0 (PKP 3.0), walaupun prosedur operasi standard (SOP) hanya membenarkan pembelian secara bungkus.

“Jika kita dapati ada penyewa gerai melanggar SOP, kita akan ambil tindakan yang mana penguat kuasa kita diberi kuasa untuk kompaun tidak kira siapa yang melanggar SOP PKP 3.0 ini.

“Pada masa sama, kita akan melakukan pemantauan berterusan setiap hari bagi pematuhan SOP dalam usaha mencegah penularan pandemik COVID-19 di tempat-tempat awam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2288
Kongsi :
Previous post MPHTJ peruntuk RM900,000 atasi banjir
Next post Padah ‘rempit’ bawa bendera Palestin
Ubah saiz-+=