Pasangan kekasih dituduh bunuh warga emas

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

MELAKA, 27 Jun – Sepasang kekasih hari ini didakwa atas pertuduhan membunuh seorang warga emas di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini.

Noorbaizura Mohd Fuad, 34, dan Muhammad Faris Amjad Jamalludin, 24, dituduh secara bersama menyebabkan kematian terhadap Tan Kue Seng, 71, di tepi Jalan Gapam, Ayer Keroh, dalam Daerah Melaka Tengah antara 7 hingga 9 pagi, 9 April lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun yang sama, yang membawa hukuman mati.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh di hadapan Majistret Mazana Sinin, yang kemudiannya menetapkan 22 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan tiada jaminan ditawarkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Muhammad Faris Amjad mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan merompak.

Lelaki itu didakwa telah merompak sebuah beg tangan milik Syahida Ain Saripudin, 34, di tempat meletak kereta di hadapan sebuah kedai serbaneka di Jalan Kesidang 3/11, Taman Kesidang dalam Daerah Melaka Tengah pada 5.25 pagi, 8 April lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 392 kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat.

Muhammad Faris Amjad juga didakwa telah melakukan rompak dengan meragut sebuah beg sandang mengandungi dokumen penting, telefon bimbit dan wang tunai RM1,200 daripada Yoong Mee Yong, 69, dan semasa melakukan perbuatan merompak tersebut dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Laksamana 1, Taman Kota Laksamana, dalam Daerah Melaka Tengah pada 11.05 malam, 22 Mac lalu dan pertuduhan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N Siva Shangari manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Darmafikri Abu Adam menetapkan 1 Ogos untuk sebutan semula kes.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2183
Kongsi :
Previous post Pengamal industri Melaka perlu aktif CSR kitar semula
Next post Beri peluang asnaf bayar zakat
Ubah saiz-+=