Sorting by

×

Pasang perangkap di setiap DUN atasi ancaman haiwan liar

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

TANJUNG TUAN 10 Julai – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka memperuntukkan sebanyak RM1.9 juta bagi menyediakan perangkap babi hutan dan kera liar yang mengancam keselamatan penduduk dan kawasan pertanian di negeri ini.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, peruntukan itu disalurkan bagi menyediakan sebanyak 316 unit perangkap haiwan liar itu.

Katanya, ia diagihkan berdasarkan permohonan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka.

“Setakat ini Perhilitan menerima lebih 1,500 aduan berkaitan gangguan hidupan liar kera dan babi hutan di Melaka yang mana aduan tertinggi (direkodkan) adalah dalam Daerah Alor Gajah.

“Menerusi peruntukan yang disalurkan sebanyak 100 unit perangkap corong disiapkan dan selebihnya membabitkan pembinaan perangkap anak kera dan perangkap pemindahan yang akan diserahkan ke setiap DUN.

“Kesemua perangkap yang disediakan ini akan diagihkan dan disiapkan sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Perangkap Hidupan Liar bagi Program Basmi Musuh Tanaman Kerajaan Negeri Melaka diadakan di Pusat Pendidikan Biodiversiti Tanjung Tuan Melaka, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalannya, Low Chee Leong dan Pengarah Perhilitan negeri, Petra Sulai,

WhatsApp Image 2023-07-10 at 14.38.06
100 unit perangkap corong yang siap untuk diagihkan ke setiap Dun di Melaka.

Terdahulu, dalam program berkenaan sebanyak 100 unit perangkap corong disediakan untuk diagihkan bagi mengawal gangguan hidupan liar di Melaka.

Dr Muhammad Akmal berkata, konflik hidupan liar yang mengganggu penduduk perlu diatasi dengan lebih serius supaya isu kerosakan tanaman dapat diatasi segera.

Katanya, bagi memastikan langkah mengawal gangguan hidupan liar, pertambahan perangkap yang disediakan itu akan dilaksanakan secara kaedah pusingan bagi mengurangkan masa menunggu.

“Kawasan yang lebih menerima gangguan tertinggi akan ditumpukan dan jika kawasan itu kurang menerima gangguan kita akan pindahkan perangkap ke kawasan-kawasan yang memerlukan.

“Pemasangan perangkap ini tidak akan diletakkan dalam kawasan yang tertumpu sahaja tetapi kita akan pindahkan ke beberapa kawasan lain bagi memastikan gangguan ini terkawal,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1372
Kongsi :
Previous post Kalam Ilahi DUN Ayer Limau diteruskan
Next post Cadang Pusat Pendidikan Biodiversiti diperluaskan sebagai pelancongan pendidikan
Ubah saiz-+=