Parti diberi tempoh seminggu turunkan bendera, poster kempen
AYER KEROH 21 Nov – Semua parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diberi tempoh seminggu untuk menanggalkan semua bendera atau poster parti masing-masing.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman berkata, arahan itu berkuatkuasa esok dan jika gagal mematuhi perkara itu, wang deposit parti tidak akan dikembalikan.
“Setiap parti yang bertanding ada membayar deposit jadi sekiranya mereka gagal menurunkan bendera atau kain rentang, wang deposit itu akan digunakan untuk membersihkan bendera atau kain rentang yang tidak diturunkan oleh parti terlibat,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).
Selain itu menurut Shadan, setakat ini masih ada poster dan bendera dipasang parti politik belum diturunkan sebagaimana diarahkan.
“Kita meminta kerja menurunkan poster dan bendera dilakukan dengan berhemah bagi mengelak kejadian tidak diingini kerana ada bendera dipasang di tempat tinggi,” katanya.
Pada masa yang sama, kata beliau, pihaknya akan melakukan pemantauan di setiap kawasan bagi memastikan parti politik mematuhi arahan yang ditetapkan sebelum ini.
Sementara itu, tinjauan MHI mendapati di sekitar Masjid Tanah, Paya Rumput dan Duyong mendapati sebahagian bendera dan kain rentang mewakili PH telah diturunkan sebaik sahaja selesai pengumuman keputusan pilihan raya dibuat oleh SPR malam tadi.
Tinjauan mendapati kelihatan petugas menurunkan bendera dan kain rentang mengandungi logo parti PH yang dipasang di sekitar tepi jalan raya Masjid Tanah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.