Parol dan PBSL atasi kesesakan banduan

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

TELOK MAS 26 Jun – Jabatan Penjara menyasarkan kira-kira 10,000 banduan akan dibebaskan setiap tahun menerusi Sistem Parol dan Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL).

Pengarah Bahagian Pengurusan Banduan, Komisioner Penjara Ajidin Salleh berkata, program itu dilaksanakan bagi menangani kesesakan banduan yang berlaku di beberapa buah penjara di negara ini.

Beliau berkata, selain itu juga Jabatan Penjara turut melakukan pemindahan antara penjara meskipun keadaan kesesakan masih terkawal.

“Kita juga akan memperluaskan program parol dan PBSL dengan sasaran 10,000 setahun untuk dilepaskan.

“Sebenarnya kita dalam situasi menangani kesesakan dan apa yang kita buat adalah melaksanakan pemindahan antara penjara iaitu dari penjara zon merah atau kuning (sesak) ke penjara zon hijau.

“Namun begitu kita masih boleh toleransi sekiranya kesesakan hanya 20 peratus misalnya kapasiti 1,000 kepada 1,200 dan kita akan warnakan zon kuning tetapi lebih akan jadi zon merah serta tidak boleh diterima,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia 2022, di Sekolah Henry Gurney, hari ini.

Menurutnya, menjelang 2030 Jabatan Penjara turut menyasarkan lebih ramai banduan akan berada bersama masyarakat lebih awal.

“Kita sasarkan bahawa menjelang 2030 lebih ramai banduan berada bersama masyarakat lebih awal, kita sasarkan 2/3 banduan akan bersama untuk pemulihan dalam masyarakat berbanding penjara.

“Buat masa ini kadar kesesakan hanya lima peratus sahaja khususnya berlaku di pantai timur antaranya Penjara Marang, Terengganu dan Pengkalan Chepa, Kelantan serta di Sabah serta Sarawak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1871
Kongsi :
Previous post Inspektor Sheila didakwa aib kehormatan lans koperal, pemuda dan ugut warga emas
Next post Bekalan ternakan untuk Aidiladha mencukupi
Ubah saiz-+=