Parlimen Kota Melaka sumbang RM120,000 untuk 24 masjid
BANDA HILIR 8 April – Sebanyak 24 masjid di Parlimen Kota Melaka menerima sumbangan RM5,000 setiap satu untuk kerja-kerja menaik taraf dan pengimarahan rumah ibadat sepanjang Ramadan dan Syawal ini.
Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, sumbangan itu antara program kebajikan yang dibuat saban tahun dengan kerjasama Pejabat Parlimen Kota Melaka bagi membantu jawatankuasa masjid.
Kata Poay Tiong, pihaknya sentiasa prihatin dan meneliti setiap aduan mengenai kerosakan surau dan masjid dalam kawasan Kota Melaka.
“Untuk program ini secara keseluruhan saya menyumbang sebanyak RM120,000 hasil peruntukan kerajaan pada fasa 1 tempoh hari yang mana sebahagian besar selalunya memang saya agihkan untuk masjid dan surau.
“Saya sentiasa berkomunikasi dengan pucuk pimpinan masjid mengenai keperluan mereka bagi menjalankan aktiviti keagamaan khususnya pada Ramadan ini.
“Agihan ini boleh digunakan untuk memperbaiki kerosakan misalnya mengganti karpet, menampal bumbung yang bocor, menaik taraf pendawaian dan sebagainya untuk keselesaan umat Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan kepada 24 masjid Parlimen Kota Melaka di sebuah restoran di Pulau Melaka, semalam.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana, Low Chee Leong.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.