PARKIR PERCUMA SELAMA SEMINGGU DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 13 September – Bersempena sambutan Hari Malaysia dan Maulidur Rasul tahun ini, Kerajaan Negeri Melaka menawarkan Inisiatif Khas Parkir Percuma kepada pelancong dan pengunjung di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, tawaran itu membabitkan kesemua 34,764 petak parkir di empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Melaka.

Jelas beliau, tawaran itu bermula esok hingga 20 September 2024.

“Tawaran parkir percuma itu membabitkan sebanyak 14,876 petak parkir di bawah Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB); 5,000 petak parkir Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG); 3,500 petak parkir Majlis Perbandaran Jasin (MPJ); dan 11,388 petak parkir Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

“Inisiatif Khas Parkir Percuma ini adalah bersempena Sambutan Hari Malaysia dan Sambutan Maulidur Rasul yang berlangsung pada musim cuti sekolah, selain kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” kata Ab Rauf dalam satu kenyataan dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri.

Menurut Ab Rauf, tawaran khas parkir percuma ini adalah simbolik manifestasi penghargaan Kerajaan Negeri kepada pelancong dan pengunjung, di mana dari Januari hingga Julai ini Melaka merekodkan kedatangan lebih 8.7 juta pelancong dan pengunjung.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri terus mengalu-alukan ketibaan pelancong ke negeri ini, selain berharap inisiatif tawaran parkir percuma itu dapat memacu pertumbuhan ekonomi sektor pelancongan negeri sempena TMM2024.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2419
Kongsi :
Previous post PARKIR PERCUMA SELAMA SEMINGGU
Next post KENDURI RAKYAT TUMBANG SEEKOR LEMBU
Ubah saiz-+=