Parkir percuma di Melaka pada 1 hingga 7 Syawal – KM
AYER KEROH 18 April – Kerajaan Negeri melaksanakan inisiatif parkir percuma untuk pengunjung tempatan dan luar Melaka yang datang ke negeri ini pada 1 hingga 7 Syawal nanti.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu secara tidak langsung melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM519,000.
“Saya percaya di samping meraikan hari lebaran, pasti ada yang mengambil cuti tambahan bagi menziarahi saudara-mara dan menikmati suasana keindahan di Melaka.
“Maka, saya mengisytiharkan inisiatif ‘parking’ percuma bermula 1 sehingga 7 Syawal melibatkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2023 bertemakan ‘Bijak Laksana Hang Tuah, Berani Laksana Hang Jebat’ di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan dan lain-lain barisan Exco Kerajaan Negeri.
Ujarnya inisiatif itu secara tidak langsung membantu meringankan beban rakyat di negeri ini.
“Puas saya merenung dan memikirkan sesuatu untuk saya anugerahkan kepada anak-anak watan Negeri Melaka khususnya dan di luar Melaka amnya.
“Inisiatif ini bagi menggamit kepulangan mereka ke kampung halaman di Melaka dalam meraikan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.