Parkir bertingkat Banda Hilir sedang dimuktamadkan

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

BANDA HILIR 8 Jun – Sebuah parkir bertingkat akan dibangunkan di Banda Hilir bagi memudahkan pengunjung yang datang ke Zon Bebas Kenderaan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, kemudahan itu dijangka akan dibina dalam masa terdekat bagi menambah lagi kemudahan parkir kenderaan di kawasan tumpuan pelancong itu.

Bagaimanapun, menurutnya, Kerajaan Negeri sedang menunggu kertas kerja yang sesuai bagi pelaksanaan terbabit.

Menurutnya, sudah ada beberapa syarikat swasta yang menunjukkan minat bagi mengendalikan parkir bertingkat itu, namun pemilihan lokasi sedang dimuktamadkan.

“Kita di MBMB sedang menunggu beberapa kertas kerja dari mana-mana syarikat swasta yang ingin mengendalikan parkir bertingkat ini.

“Ada beberapa yang sudah hantar, namun tidak menyatakan kesesuaian lokasi. Pemilihan lokasi haruslah di sekitar Banda Hilir, Kompleks Tabung Haji Banda Kaba atau Kota Laksamana serta beberapa lokasi sesuai kerana memudahkan pengunjung.

“Bagaimanapun, kita sedang berusaha untuk melaksanakan pembinaan parkir bertingkat ini dalam masa terdekat atau pada tahun ini juga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Ketua Menteri mengadakan lawatan ke kawasan tumpuan pelancong di Banda Hilir, hari ini.

Hadir sama pada lawatan itu, Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong dan lain-lain kenamaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

204
Kongsi :
Previous post Bina masa depan generasi muda Ayer Limau
Next post ‘Satu tong cendol tak cukup, habis awal..’
Ubah saiz-+=