Sorting by

×

Pari 10kg Tambak Klebang hadiah tahun baharu

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

KLEBANG 1 Januari – Permulaan tahun baharu 2023 membawa tuah kepada seorang juruteknik apabila meraih gelaran juara pada pertandingan memancing di Tambak Klebang, di sini, hari ini.

Yunus Mahiri, 43, yang menaikkan ikan pari seberat 10.41 kilogram (kg) muncul pemancing yang mendaratkan ikan terberat sekali gus membawa pulang wang tunai RM20,000.

Yunus yang berasal dari Kampung Melayu, Johor Bahru, Johor berkata dia seakan tidak percaya balingan pertamanya berumpankan udang hidup disambar pemangsa dasar laut itu kira-kira 10 minit selepas pertandingan bermula.

Katanya, dia terpaksa mengambil masa kira-kira 20 minit untuk bertarung dengan spesies tersebut sebelum berjaya menewaskannya.

“Sebelum ini saya pernah mendaratkan pari bersaiz lebih besar, tetapi kali ini cukup istimewa kerana ia didaratkan pada tanggal 1 Januari, permulaan tahun baharu dan ia juga menjadi ikan yang melayakkan saya bergelar juara.

“Apapun, saya bersyukur dengan rezeki yang diberikan Allah SWT. Insya-Allah wang kemenangan akan saya gunakan untuk membelanja keluarga,” katanya yang sudah berkahwin dan mempunyai lima cahaya mata.

Sementara itu, tempat kedua dan ketiga menjadi milik peserta yang mendaratkan ikan daun baru seberat 2.055kg dan senangin 1.855kg.

Naib juara dan ketiga membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000 dan RM2,000.

Pertandingan memancing yang bermula pada jam 8.30 pagi dan berakhir 12.30 tengah hari itu merupakan anjuran Wak Jali Event Management.

Sepanjang empat jam pertandingan berlangsung, sebanyak 556 ikan pelbagai jenis telah ditimbang antaranya pari, daun baru, talang, kerapu, sembilang, gerut, duri, tenggiri, kurau dan gelama.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1976
Kongsi :
Previous post Ayam Percik Hutan Percha, tarikan pelancong ke Machap
Next post Tanjung Bidara tumpuan ‘raja’ litar RC
Ubah saiz-+=