Paras empangan seluruh negara masih baik- Tuan Ibrahim
KUALA TERENGGANU 14 Mac. – Paras air di empangan seluruh negara ketika ini masih berada pada tahap ‘selesa’, meskipun negara sedang dilanda fenomena cuaca panas, kata Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau turut memberi jaminan bahawa bekalan air di empangan seluruh negara, masih lagi mencukupi untuk menampung keperluan seharian penduduk.
“Berdasarkan ramalan Meteorologi Malaysia pun cuaca panas tahun ini tidak seteruk tahun lepas dan kadar kelembapan ketika ini agak tinggi. Cuma, terdapat isu-isu (gangguan bekalan air) yang berlaku contohnya di Baling, Kedah dan isu tersebut telah pun diatasi kerajaan negeri.
“Kita akui ada tempat-tempat yang mengalami masalah (gangguan bekalan air) dan kita ambil tindakan melalui operator air di negeri-negeri untuk menghantar air (kepada pengguna) melalui lori dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Cabutan Kerja Undi di bawah peruntukan KASA, di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.
Paras air empangan di seluruh negara kini mencatat tahap storan melebihi 70 peratus.
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata Majlis Cabutan Kerja Undi itu melibatkan 103 kerja-kerja bagi projek pemulihan sungai yang akan dilaksanakan dalam tempoh kurang tiga bulan untuk mengurangkan risiko bencana banjir di semua daerah di Terengganu.
Katanya, secara keseluruhannya, kerajaan telah meluluskan peruntukan RM7.5 juta untuk kerja-kerja pemuliharaan sungai di Terengganu pada tahun ini dengan fasa pertama melibatlkan nilai RM4.8 juta yang diundi hari ini.
“Kerja Undi hari ini melibatkan nilai projek di bawah RM100,000 bagi kontraktor kelas G1 bertujuan membantu mereka menjana semula ekonom akibat terjejas dengan penularan pandemik COVID-19,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.