Paras air Sungai Kesang tinggi sukarkan bomba pam keluar air ‘banjir termenung’

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

JASIN, 29 Dis – Paras air Sungai Kesang yang masih tinggi menyukarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka menjalankan khidmat khas bagi membantu mengepam keluar air ‘banjir termenung’ di sekitar Kampung Lanchang, Merlimau di sini.

Pengarahnya Abu Bakar Katain berkata proses itu akan dilakukan dalam masa satu atau dua hari lagi dan bergantung kepada situasi semasa memandangkan paras air yang bertakung di sekitar kawasan melibatkan tujuh rumah penduduk di situ masih menyamai paras sungai tersebut.

“Pihak kita cuba untuk mengepam air di kawasan tersebut namun keadaannya masih belum mengizinkan disebabkan paras sungai yang masih tinggi menyebabkan kerja mengepam air bertakung itu tidak dapat dilakukan.

“Sekiranya proses itu dilakukan pada hari ini, ia masih tidak akan memberi apa-apa impak besar kerana air itu mengalir semula ke kawasan yang banjir itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Program Skuad Sukarelawan Pasca Banjir yang disertai 100 sukarelawan daripada pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Belia dan Sukan Daerah Jasin serta badan bukan kerajaan (NGO).

ABU Bakar menghadiri Program Skuad Sukarelawan Pasca Banjir yang disertai 100 sukarelawan daripada pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Belia dan Sukan Daerah Jasin serta badan bukan kerajaan (NGO). Foto JBPM Melaka

Abu Bakar berkata JBPM Melaka juga membantu menjalankan kerja-kerja lain termasuk pembersihan kawasan dalam dan luar rumah yang terjejas, pengalihan dan penyusunan peralatan, perkakas dan perabot rumah, sanitasi serta penyampaian sumbangan kepada keluarga mangsa banjir.

Sementara itu, seorang penduduk Azhar Jaafar, 54, berkata keadaan banjir yang melanda kawasan rumah mereka pada kali ini agak lama disebabkan ‘banjir termenung’ itu dan sehingga kini beliau sekeluarga masih lagi berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu sejak 19 Dis.

“Saya berharap cuaca berterusan baik dan air kembali surut di kawasan rumah kami kerana rasa tidak sabar lagi untuk pulang ke rumah setelah 10 hari tinggal di PPS,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1084
Kongsi :
Previous post Banjir: Masyarakat perlu ada ilmu pertahanan awam – APM Melaka
Next post BISTARI sumbang RM50,000 bantuan bencana banjir
Ubah saiz-+=