Paras air Sungai Kesang cecah paras waspada

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 23 Nov – Paras air Sungai Kesang yang terletak di Sungai Rambai, Jasin melepasi paras waspada setakat jam 1.45 petang tadi.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Melaka, Abd Hakim Hamzah berkata stesen siren di Teluk Rimba, Muar menunjukkan paras air berada pada ketinggian 2.93 meter iaitu melebihi tahap waspada 2.5 meter.

Katanya, banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan di daerah Jasin disebabkan faktor cuaca dengan taburan hujan yang tinggi sejak beberapa hari ini.

“Pihak JPS sentiasa memantau perkembangan paras air sungai dari semasa ke semasa.

“Bagaimanapun, kita akan cuba atasi menerusi projek tebatan yang sedang dalam proses pengambilan balik tanah di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata semua paras air sungai di negeri ini menunjukkan paras normal termasuk sungai di Durian Tunggal; Klebang Besar, Melaka Pindah, Sungai Duyong dan Chohong.

“Sungai berhampiran Taman Merdeka merekodkan paras melebihi amaran pada jam 2 petang pada ketinggian 2.18 meter namun kembali ke paras normal beberapa jam kemudian,” katanya.

Terdahulu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan melaporkan, paras air sungai di Sungai Chohong, Jasin dan Sungai Melaka di Alor Gajah menunjukkan peningkatan.

Sungai Chohong yang sebelum ini berada pada paras 10.10 meter kini mencatat paras 10.75 meter namun masih berada di bawah paras normal dengan ketinggian 11.30 meter.

Begitu juga di Sungai Melaka yang paras normal adalah 11.15 meter, kini merekodkan paras semasa 10.74 meter.

Views:

1162
Kongsi :
Previous post Pengunjung mula datang ke Zoo Melaka
Next post Melaka tambah produk pelancongan baharu tahun depan
Ubah saiz-+=