Sorting by

×

PARAMEDIK KOMUNITI MELAKA BENAR-BENAR BERI IMPAK

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 10 Januari – Inisiatif Paramedik Komuniti (PARAKOM) yang merupakan cetusan idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh terbukti bukan inisiatif biasa-biasa mahupun sekadar ada.

PARAKOM yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2024 Negeri Melaka pada Disember 2023 telah menunjukkan hasil dalam membantu rakyat dan pelancong di Melaka menerusi tindakan pantas sukarelawan terlibat dalam memberikan bantuan awal kecemasan.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, inisiatif itu telah terbukti berkesan apabila beliau melihat sendiri kepantasan dan ketangkasan PARAKOM Melaka dalam membantu pengunjung yang rebah dalam satu majlis di Banda Hilir penghujung tahun lalu.

Jelas beliau, peranan penting sukarelawan PARAKOM itu wajar diberi penghargaan kerana ia secara tidak langsung membuktikan bahawa Melaka sebuah negeri pelancongan yang selamat.

“Saya amat menghargai peranan dan dedikasi mereka kerana saya sendiri melihat kejadian pengunjung rebah dalam satu program, baru-baru ini.

“Petugas PARAKOM yang berada di lokasi melakukan tindakan pantas dengan memberikan bantuan kecemasan bagi membantu pesakit.

“Sekiranya, Ketua Menteri tidak mengilhamkan inisiatif PARAKOM ini mungkin ada yang panik apabila berlaku kes kecemasan dan ia membuktikan inisiatif ini bukan idea main-main, sebaliknya ia benar-benar membantu masyarakat memerlukan,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Melaka merupakan negeri perintis PARAKOM yang ditubuhkan bagi memberi bantuan kecemasan awal di seluruh Negeri Melaka.

PARAKOM bukan sahaja ditempatkan di 229 buah kampung di Melaka, bahkan perkhidmatan itu juga turut merangkumi kawasan-kawasan pelancongan khususnya di Banda Hilir.

Untuk tahun ini, Ketua Menteri turut mengumumkan penambahbaikan dengan menyasarkan penyediaan satu ambulans bagi setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini bagi memantapkan lagi perkhidmatan PARAKOM.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

292
Kongsi :
Previous post ANGKAT NASKHAH AGUNG SULALATUS SALATIN JADI SENI VISUAL
Next post AMARAN HUJAN BERTERUSAN TAHAP BAHAYA DI PAHANG, JOHOR HINGGA AHAD, MELAKA TAHAP WASPADA
Ubah saiz-+=