Sorting by

×

PARAKOM DITEMPATKAN DI GADEK HOTSPRING, ELAK KEJADIAN TIDAK DIINGINI

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

GADEK 21 Januari – Sebagai langkah keselamatan pengunjung, sekumpulan Paramedik Komuniti (Parakom) akan ditempatkan dalam kawasan Gadek Hotspring Wellness and Spa Resort.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata langkah itu berikutan sebelum ini terdapat kes membabitkan kanak-kanak hampir lemas di kawasan tersebut.

Katanya, beliau mencadangkan penempatan Parakom di lokasi terbabit pada hujung minggu dan cuti sekolah.

“Saya mahu selepas ini tempatkan Paramedik Komuniti (Parakom) di sini dan saya mencadangkan supaya ditempatkan pada hujung minggu.

“Selain daripada Bangunan Merah (Stadthuys) ada Parakom, di sini pun perlu diletakkan Parakom untuk membantu sekiranya ada kecemasan, jadi tak adalah nanti kita terpaksa menunggu bantuan kecemasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya menyempurnakan Majlis Perasmian Gadek Hotspring Wellness and Spa Resort di sini malam tadi.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.

Turut hadir, Exco Belia, Sukan dan NGO negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek, Datuk VP Shanmugam; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Timbalan Pengerusi Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Ketua Pegawai Eksekutif MCORP Datuk Mohd Yusof Abu Bakar serta barisan Exco, Timbalan Exco dan kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata beliau mahu Parakom ditempatkan segera dalam kawasan pelancongan yang baharu dibuka semula kepada orang ramai itu.

“Saya mahu hujung minggu ini sudah ada Parakom di sini, kerana sekarang ini musim cuti persekolahan, kawasan ini menjadi tumpuan pelancong.

“Kita harap perkara tidak diingini tidak berlaku selepas usaha meletakkan Parakom dilaksanakan,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

481
Kongsi :
Previous post TIADA LAGI TOL PERCUMA SEMPENA PERAYAAN, KERAJAAN AMBIL PENDEKATAN BERSASAR – NANTA LINGGI
Next post GADEK HOTSPRINGS DAYA TARIKAN PELANCONGAN KESIHATAN LUAR BANDAR
Ubah saiz-+=