Sorting by

×

Para SUKMA XXI: Melaka hantar 62 atlet, sasar 9 emas

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 10 Ogos – Melaka menyasarkan sembilan pingat emas pada temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak yang berlangsung 20 hingga 28 September depan.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri VP Shanmugam berkata, jumlah itu ditetap berdasarkan kejayaan kontinjen Melaka pada edisi lalu yang meraih sembilan emas, 19 perak dan 12 gangsa.

Menurutnya, pada temasya sukan kali ini, Melaka menghantar seramai 106 kontinjen membabitkan 62 atlet dan 44 pegawai.

“Kita akan bertanding dalam pelbagai acara dan antara yang berpotensi menyumbang pingat adalah seperti olahraga, lawn ball, badminton, boling dan power lifting.

“Seperti edisi lalu, kita lebih banyak meraih pingat perak dan gangsa, jadi menjadi harapan kita agar pada edisi kali ini pingat tersebut berubah menjadi emas.

“Kita berharap atlet-atlet yang disenaraikan berada pada tahap prestasi terbaik untuk membantu Melaka merealisasikan sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Para SUKMA Negeri Melaka di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Penolong Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka Mohd Khairol Kamis; Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka Mohd Asri Ninggal dan lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Shanmugam memaklumkan, selain atlet, Kerajaan Negeri juga bercadang untuk memberikan insentif kepada jurulatih Para SUKMA yang berjaya membantu atletnya meraih pingat.

“Sebelum ini kita telah mengumumkan insentif untuk jurulatih SUKMA yang berjaya membantu atlet meraih pingat, namun kini kita mahu jurulatih Para SUKMA juga mendapat ganjaran yang sama. Namun, perkara itu akan diputuskan dalam masa terdekat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

619
Kongsi :
Previous post Melaka sudah sedia ganjaran untuk Aaron
Next post Bila ‘otai’ memanah dalam bendang
Ubah saiz-+=