‘Papa Rock’ rasmi konsert di Malacca Music Hall
TANJUNG BIDARA 29 Julai – Penyanyi legenda negara, Datuk Ramli Sarip akan membuka tirai pembukaan dewan konsert Malacca Music Hall di Villa d’Acqua, di sini, bermula hari ini dan esok ( 29 dan 30 Julai).
Malacca Music Hall merupakan inisiatif pihak bersendirian dalam usaha mendukung visi dan menyumbang kepada perkembangan pembangunan industri muzik tanah air khususnya Melaka.
Menurut Pengurusnya Hosny Yunus, Malacca Music Hall hanya mengutamakan penganjuran acara muzik yang berkualiti dan kreatif untuk mencipta kelainan serta memberi kepuasan kepada penonton yang menghadiri acara.
“Kami hanya mahu memberi perkhidmatan dan persembahan acara yang terbaik untuk para pelanggan kami, maka tentunya kami merujuk kepada profesional iaitu rakan-rakan industri muzik yang berpengalaman luas dalam aspek muzik, seni dan hiburan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Malacca Music Hall yang terletak bersebelahan Villa d’Acqua turut bekerjasama menawarkan pakej penginapan bertaraf hotel butik kepada para penonton konsert atau acara.
Turut dimaklumkan, selepas konsert pembukaan Ramli Sarip, Malacca Music Hall juga dalam persediaan untuk menganjurkan konsert eksklusif MOHRAM, Azharina dan Amir Ukays yang bakal berlangsung tahun ini juga.
Sebagai konsert buat julung kali yang diadakan bagi pembukaan Malacca Music Hall, pihak pengurusan membuka peluang kepada peminat setia untuk menyaksikan persembahan penyanyi yang terkenal dengan jolokan ‘Papa Rock’ secara lebih dekat.
Tiket yang dijual bagi ‘Concert Ramli Sarip: Upclose and Personal’ adalah terhad dan hanya dijual kepada peminat setia bertujuan memberikan pengalaman yang eksklusif.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.