Pantun KM tarik perhatian dewan

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

SERI NEGERI 29 November – Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas sepanjang tiga hari ini dilihat berjalan lancar apabila kesemua sesi soalan lisan dan perbahasan berlangsung dengan jayanya.

Antara perkara yang menarik diperhatikan adalah penggunaan pantun dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bersidang.

Tidak terkecuali, pantun-pantun spontan digunakan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada sesi penggulungan hari ini menjadikan suasana persidangan lebih menarik.

Pantun yang dilafazkan beliau turut menyentuh pelbagai aspek kehidupan yang dekat dengan pemimpin dan rakyat Melaka disampaikan secara bersahaja sebagai wadah dalam bentuk nasihat, gurauan dan medan berbahas.

Sebagaimana sewaktu sesi penggulungan, Ab Rauf menjawab kenyataan Dr. Mohd Aleef Yusof (PN-Sungai Udang) yang mencelah memohon agar pihaknya diberikan ruang dalam inisiatif Paramedik Komuniti.

“Kain baju dilipat-lipat,
Lipat-lipat tepi almari,
Kalau saya pandai memikat,
Burung terbang menyerah diri,” usiknya dalam pantun.

Sidang dewan kali ini juga menyaksikan tradisi baharu dengan mengetengahkan seni pantun sebagai pembuka tirai kepada sesi perbahasan membuatkan isi ucapan lebih gramatis.

Ia dapat dilihat menerusi sesi berbalas-balas pantun antara Ketua Pembangkang, Dr. Mohd Yadzil Yaakub (PN-Bemban) mendakwa pertanyaannya tidak dijawab.

Ab Rauf menjawab kenyataan tersebut menerusi pantun empat kerat.

“Cantik sungguh rumah Encik Wahab,
Bunga ditanam berbaris-baris,
Bukan semua saya tak jawab,
Saya susul jawapan bertulis,” katanya.

Beberapa rangkap pantun turut digunakan Ketua Menteri dalam sesi penggulungan yang bukan sahaja menyerikan lagi sidang DUN Melaka malah menghidupkan lagi tradisi dan warisan Melayu dalam kalangan wakil rakyat.

“Kalau padi katakan padi,
Tidaklah saya tertampi-tampi,
Kalau sudi katakanlah sudi,
Belah sini sedia menanti”

“Anak kerbau mati tertambat,
Tinggi sungguh si matahari,
Semua perkara telah kita sepakat,
Ukur baju di badan sendiri.”

Sebelum ini, media melaporkan Projek “1 Kampung 1 Pantun” bakal mewarnai kemeriahan sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4673
Kongsi :
Previous post Sukan Melaka 2024: Syarat baharu tiga pemain berusia bawah 20 tahun
Next post Advokasi keselamatan jalan raya berkesan kurangkan pengguna tiada lesen
Ubah saiz-+=