PANTAU STRUKTUR BANGUNAN WARISAN RATUSAN TAHUN
BANDA HILIR 2 Januari – Pemantauan berterusan terhadap bangunan warisan berusia ratusan tahun sekitar Jalan Laksamana, dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan strukturnya berada dalam keadaan selamat.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, ia bagi mengelak kejadian runtuhan struktur seperti dilaporkan pada Rabu berulang atau membabitkan premis lain.
“Kejadian yang berlaku itu amat mendukacitakan namun begitu kita bernasib baik kerana tidak melibatkan kecederaan, malah Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah mengambil langkah segera.
“Sebagaimana maklum bangunan ini melibatkan struktur ratusan tahun, justeru tidak boleh sesuka hati untuk melakukan baik pulih tanpa meminta kebenaran daripada pihak yang terlibat terutamanya Jabatan Warisan Negara,”katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Pengayuh Beca Negeri Melaka Tahun 2025 yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di Banda Hilir, semalam.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman bersama timbalan beliau Datuk Zaidi Attan serta Datuk Bandar, MBMB Datuk Shadan Othman.
Menurut Rais, disebabkan itu secara fizikalnya usaha yang boleh dilakukan adalah dengan memelihara dan memulihara bangunan lama.
“Sejak dulu lagi saya dan Datuk Bandar mengingatkan kepada semua betapa pentingnya memelihara dan memulihara bangunan yang berusia ratusan tahun ini.
“Dimaklumkan runtuhan disebabkan oleh gegaran, kerana itulah Ketua Menteri mengilhamkan pelaksanaan Car Free Zone, walaupun membabitkan jarak hanya beberapa ratus meter sahaja tetapi ia menunjukkan Negeri Melaka ini mempunyai rasa cinta terhadap bahan sejarah bagi tatapan anak cucu pada masa hadapan.
“Saya berharap semua pihak faham faedah pelaksanaan Car Free Zone ini. Apabila setiap hari, setiap minggu kenderaan yang masuk terlalu banyak sehingga puluhan ribu ia menyebabkan gegaran dan akhirnya bangunan ini rosak,” katanya.
Jelasnya, rakyat negeri ini amat beruntung kerana hanya Pulau Pinang dan Melaka sahaja di Malaysia yang mempunyai bangunan warisan diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.