Pantai Puteri bertambah ceria sempena TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

PANTAI KUNDOR 23 September – Penambahbaikan kemudahan awam dan keceriaan Pantai Puteri melibatkan peruntukan kira-kira RM650,000 giat dilaksanakan menjelang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi @ Mohd Hashim berkata, peruntukan itu diumumkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ogos lalu dan projek itu akan dilaksanakan secepat mungkin.

“Dari segi penambahbaikan beberapa perkara akan dilakukan antaranya dari sudut pencahayaan (bagi keceriaan) di Pantai Puteri, selain bebera lagi kemudahan awam yang akan dinaik taraf.

“Selain itu, pelan pembinaan arca baharu juga kini sedang dijalankan jurutera terlibat yang mana monumen tarikan baharu itu akan diletakkan berhampiran Pentas Budaya Pantai Puteri.

“Arca itu mampu menjadi mercu tanda kepada pelancong untuk dirakamkan sebagai kenangan dan rekaan arca itu akan dicadangkan dalam tiga bentuk dan kita akan pilih mana yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Gotong-royong Perdana Bersama YB Pantai Kundor dan Orang Diparol (ODP) di Makam Hang Tuah di sini.

Hadir sama, Pengarah Penjara Negeri Melaka, Datuk Roslan Mohamed dan Komandan Institut Koreksional Malaysia (IKoM), Penolong Kanan Komisioner Penjara Mohd Zaidi Alias.

Mengulas lanjut, Tuminah yang juga Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, bagi pembinaan arca peruntukan dianggarkan berjumlah RM150,000 manakala bagi pencahayaan dan kemudahan lebih kurang RM500,000 termasuk pembinaan fasiliti di kawasan tumpuan pelancong itu.

“Peruntukan itu termasuk membaik pulih kemudahan tandas awam, kawasan parkir dan tempat pejalan kaki.

“Pada masa sama, saya juga minta Datuk Bandar (Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah) menyelaraskan penempatan peniaga demi keselesaan pengunjung yang datang.

“Saya difahamkan MBMB sedang membuat ‘layout’ penempatan seramai 120 peniaga di sepanjang pantai ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4090
Kongsi :
Previous post Gerak RAHMAH perkukuh peranan komuniti di Melaka
Next post Seronok tidur dengan ‘Hang Tuah’
Ubah saiz-+=