Pantai peranginan tak sepi walaupun ada obor-obor

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat
Mohd Ali menyusun rawai di pangkalan nelayan Pantai Pengkalan Balak, Masjid Tanah. – Foto Din Ahmad.

TANJUNG BIDARA 20 Julai – Pelancong tempatan tetap memenuhi pantai peranginan Padang Kemunting, Pengkalan Balak dan Kuala Sungai Baru, semalam terdapat kejadian pelancong terkena sengatan obor-obor.

Walaupun, angin selatan dikatakan membawa haiwan maritim berkenaan ‘bermain’ di tepi pantai, ia tidak menghalang pelancong tempatan beriadah, kerana bagi mereka kejadian disengat obor-obor tidak mengancam keselamatan mereka secara keseluruhannya.

Angin selatan yang bertiup sejak awal bulan lalu dikenali nelayan sebagai ‘pembawa ampai-ampai’ iaitu obor-obor sebesar tapak tangan orang dewasa yang berbisa dan tidak membahayakan sesiapa.

Pengunjung, Amran Mohd Shah, 36, dari Shah Alam berkata, beliau pernah terkena sengatan haiwan maritim itu ketika mandi di Pantai Morib, Selangor dua tahun lalu yang menyebabkan paha kanannya sakit.

“Sedang seronok berenang, tiba-tiba paha kanan saya terasa sangat bisa dan apabila saya naik ke pantai, ada empat atau lima tali obor-obor melekat pada paha yang sakitnya hanya Tuhan yang tahu.

“Bagi saya, terkena sengatan obor-obor adalah nasib seseorang kerana kita tidak nampak ia di dalam air dan hanya selepas terkena sengatannya barulah kita tahu dia ada di sekitar kawasan kita berenang,” katanya ketika ditemui di pantai Padang Kemunting hari ini.

Minggu lalu tular dalam media sosial gambar beratus-ratus obor-obor kononnya memenuhi Pantai Puteri, Tanjung Kling yang turut dikaitkan dengan pantai peranginan Padang Kemunting, Pengkalan Balak dan Kuala Sungai Baru.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Fauzi Solehan menafikan aspek berkenaan, sebaliknya menegaskan gambar yang tular itu mungkin dimuat naik daripada kejadian di luar negara.

Sementara itu, nelayan Mohd Ali Abu Bakar, 50, berkata musim angin selatan sekarang menyebabkan ampai-ampai bermain di perairan hampir dengan gigi pantai dan dipercayai menyebabkan pengunjung pantai terkena jaluran bisa pada badannya yang berjuntaian seperti tali.

“Kadang kadang jaluran bisa itu melekat pada jaring dan semasa menarik jaring, tangan saya selalu juga terkena padanya tetapi bagi kami nelayan, alah bisa tegal biasa,” katanya.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Unit Masjid Tanah, Leftenan (PA) Sharul Riza Saiful Bahry berkata, pegawai dan anggota APM ditempatkan di menara penyelamat di pantai Padang Kemunting bagi memastikan keselamatan pengunjung pantai.

Katanya, memang ada berlaku pengunjung pantai terkena sengatan obor-obor dua minggu lalu, tetapi ia hanya membabitkan sengatan kecil pada kaki dan tangan mereka.

“Bagaimanapun, sepanjang cuti hujung minggu, anggota APM sentiasa peka terhadap keselamatan pengunjung pantai,” katanya.

Views:

905
Kongsi :
Previous post Dewan Rakyat: Isu pengangguran dibincangkan hari ini
Next post Perkampungan Hang Tuah bakal jadi Hollywood Melaka
Ubah saiz-+=