Sorting by

×

PANTAI HOSPITAL AYER KEROH BERJAYA LAKSANA 30 PEMBEDAHAN ROBOTIK

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

BANDARAYA MELAKA 25 Februari – Hospital Pantai Ayer Keroh menjadi hospital pertama di Melaka yang menggunakan teknologi pembedahan dengan bantuan robotik menerusi sistem pembedahan generasi keempat, Da Vinci Xi.

Menerusi teknologi bantuan robotik tersebut, ini menjadikan prosedur pembedahan lebih pantas, mudah serta selamat untuk pesakit serta pakar bedah amnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Hospital Ayer Keroh, Tan Yew Aik berkata pihaknya sudah mula menggunakan teknologi robotik tersebut sejak September tahun lalu dan kini sebanyak 30 pembedahan telah berjaya dilakukan.

“Menerusi teknologi bantuan robotik ini, prosedur pembedahan akan menjadi lebih mudah, misalnya seperti risiko kehilangan darah akan berkurangan, bukaan pembedahan lebih tepat, pesakit dapat sembuh lebih cepat dan kesakitan akan berkurangan.

“Pihak kami sudah mula melakukan 30 kes pembedahan dengan menggunakan teknologi bantuan robotik Da Vinci Xi bermula September tahun lepas dan rata-rata pesakit membabitkan mereka yang berumur 50-an hingga 70-an,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Sistem Pembedahan Robotik Da Vinci Xi yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di sebuah hotel, di sini, baru-baru ini.

Pantai 1
YEW Aik menyampaikan cenderahati kepada Ab Rauf selepas melancarkan Sistem Pembedahan Robotik Da Vinci Xi. Foto Pejabat Ketua Menteri

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad serta Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri, Datuk Ngwe Hee Sem.

Menurutnya, Pantai Hospital Ayer Keroh telah membuat pelaburan lebih RM10 juta bagi tujuan membawa Sistem Pembedahan Robotik Da Vinci Xi, di mana ia memfokuskan kepada pembedahan membabitkan urologi, ginekologi, kolorektal serta pembedahan am.

“Sudah tentu teknologi Da Vinci Xi ini adalah yang paling baik setakat ini, justeru menerusi pakar bedah kami yang berpengalaman, ditambah pula dengan keberkesanan teknologi ini mampu beri harapan cerah kepada pesakit kami bagi hadapi sebarang pembedahan yang kompleks dengan lebih berkesan dan selamat,” katanya.

Walaupun ada yang menyifatkan sistem robotik bakal menggantikan fungsi tenaga kerja dalam bidang perubatan, namun beliau menepis perkara tersebut, sebaliknya, menjelaskan sistem tersebut masih memerlukan kawalan staf yang ramai dan bekerja dalam satu pasukan.

“Walaupun sistem ini menggunakan teknologi robotik, namun ia masih memerlukan kawalan serta pemantauan dari staf hospital serta bekerja sebagai satu pasukan. Pihak kami telah mendapatkan latihan di Guangzhou, China, sekali gus mendapat sijil pengiktirafan bagi kawalan sistem tersebut bagi tujuan memantau kawal selia sistem itu,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

88
Kongsi :
Previous post ‘LUPA RASA SAKIT DAPAT BERBUAL DENGAN KETUA MENTERI’
Next post DR. SABRI TAK LOKEK KONGSI ILMU, PENGALAMAN