(DIKEMASKINI) Panorama Melaka tambah bilangan bas tahun hadapan
SERI NEGERI 28 November – Sektor pengangkutan awam Negeri Melaka akan diperkasa dengan penambahan jumlah bas oleh Panorama Melaka.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, berbanding 24 bas yang tersedia ketika ini, jumlah itu dijangka akan meningkat menjadi 64 buah menjelang tahun depan.
Katanya, penambahan itu adalah hasil peruntukan di bawah Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST).
Penambahan jumlah bas itu juga, jelasnya, akan menjadikan laluan bas ditambah, selain kekerapannya juga akan meningkat.
“Jumlah bas yang beroperasi pada tahun ini ada 24 bas jadi tahun hadapan kita akan tambah 64 buah bas yang akan beroperasi, selain 17 laluan yang disediakan sebelum ini turut ditambah kepada 18 laluan.
“Penambahan bas-bas ini akan memastikan berlakunya penambahan waktu-waktu pusingan (frekuensi) yang disediakan perkhidmatan bas Panorama ini.
“Seperti contoh di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim waktu pusingan bas pertama pada jam 7.30 pagi dan perlu menunggu lebih kurang tiga jam untuk pusingan seterusnya pada 10.30 pagi, jadi dengan ada penambahan bas kita akan pastikan waktu pusingan ini akan beroperasi pada setiap jam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN-Rim) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.