Panorama Melaka galak urusniaga tanpa tunai
AYER KEROH 13 Oktober – Panorama Melaka Sdn. Bhd. menyerahkan sebanyak 700 unit kad Komunikasi Medan Dekat (NFC) bagi membantu dan menggalakkan orang ramai mengamalkan urusniaga tanpa tunai ketika menggunakan perkhidmatan bas syarikat berkenaan.
Pengurus Besar Panorama Melaka, Rohazam Bakar berkata, kad NFC berkenaan diserahkan kepada 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini untuk diagihkan kepada mereka yang layak dan kerap menggunakan perkhidmatan bas disediakan syarikat itu seperti pelajar.
“Setiap DUN menerima 25 kad NFC yang mempunyai nilai RM5 dan perkhidmatan tambah nilai bagi tujuan pembayaran tiket setakat ini hanya disediakan di terminal Melaka Sentral sahaja.
“Bagaimanapun kami merancang untuk memperbanyakkan lagi jumlah terminal tambah nilai ini bagi memudahkan orang ramai dan menggalakkan pengguna beralih kepada urusniaga tanpa tunai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Penyerahan NFC Card: Journey Planner Panorama Melaka pada Majlis Perasmian Smart Mobility Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah sempena Smart Melaka International Conference and Expo 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini.
Katanya, Panorama Melaka akan menambah baik perkhidmatan kad tersebut dengan mewujudkan aplikasi NFC pada masa akan datang.
“Buat masa ini kita belum ada aplikasi NFC, hanya tambah nilai secara manual di Melaka Sentral, tapi orang ramai tidak perlu risau kerana bas Panorama turut sediakan bayaran tanpa tunai menggunakan kad debit, kad kredit, Touch ‘n Go (TNG) eWallet dan kod QR.
“Untuk makluman juga kita mempunyai sebanyak 24 bas Panorama yang beroperasi setiap hari di 17 laluan untuk seluruh negeri Melaka, semua bas ini sudah dipasang dengan sistem ‘cashless’ (bayaran tanpa tunai),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.