Pangsapuri tawar penginapan jangka pendek ‘bunuh’ industri perhotelan

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 11 Ogos – Pemain industri perhotelan mahu premis yang menawarkan penginapan sewa jangka pendek atau ‘short term rental unit’ menerusi aplikasi dalam talian diselaraskan oleh kerajaan sama seperti industri perhotelan.

Exco Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) dan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Melaka, Sazali Sabri berkata ia berikutan pertambahan penginapan berkenaan semakin menggugat industri perhotelan di negeri ini.

“Mereka ini ibarat ‘cendawan tumbuh’, semakin banyak apartment (pangsapuri) dibina, semakin banyak pengoperasian mereka.

“Pemilik boleh menurunkan harga sewa lebih rendah daripada kami hotel yang berlesen ini disebabkan mereka tidak perlu membayar apa-apa lesen atau cukai yang seperti kami perlu bayar.

“Tidak perlu mohon lesen perniagaan, tiada sijil kebakaran, tiada bayaran enam peratus cukai perkhidmatan, cukai pelancongan, cukai warisan, tidak perlu isytihar keuntungan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan banyak lagi,” katanya kepada Melaka Hari Ini di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Katanya, jika perkara itu dibiarkan industri perhotelan seperti mereka semakin terjejas kerana ramai pelancong memilih untuk menginap di premis ‘short term rental’ tersebut dengan tawaran istimewa yang belum tentu berkualiti dan selamat.

“Lebih 1,500 unit penginapan seperti ini sudah ada di Melaka, bayangkan kalau lebih banyak pembinaan apartment baharu, sudah tentu semakin banyak penginapan seperti ini.

“Kita bukan mahu pengoperasian mereka ditutup atau dihentikan, cuma biarlah dikawal selia oleh kerajaan sama seperti kami pihak industri perhotelan yang sah.

“Ini memang menggugat perniagaan hotel-hotel terutama hotel bajet kerana mereka terpaksa berdepan dengan penginapan tanpa lesen seperti jenis ‘short term rental’ ini,” katanya.

Ujarnya lagi, jika kerajaan mengawal selia penginapan tersebut sudah tentu ia akan membawa keuntungan kepada kerajaan.

“Kami percaya kalau penginapan tersebut dikawal selia, akan ada keuntungan kepada kerajaan sebab dapat kutip semua cukai-cukai tersebut daripada mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3599
Kongsi :
Previous post Lahirkan lebih ramai pemain bola sepak berbakat
Next post Lebih 5,000 aduan rakyat diselesaikan setakat Julai – KM
Ubah saiz-+=