Panggilan video selamatkan suami dalam kejadian rompakan pelantar minyak di Pasir Gudang
KOTA TINGGI, 26 April – Panggilan video isteri kepada seorang daripada kru pelantar minyak di Pelabuhan Tanjung Langsat, dekat Pasir Gudang, menjadi penyelamat apabila suami dan rakan sekerjanya menjadi mangsa rompakan sekumpulan lelaki di pelantar tersebut, Isnin lepas.
Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata ketika kejadian pada kira-kira pada pukul 10.30 malam itu, hanya terdapat dua kru lelaki berusia 24 dan 32 tahun di pelantar tersebut yang berada di kedudukan 0.7 batu nautika timur laut Jeti Pelabuhan Tanjung Langsat.
Beliau yang juga memangku jawatan Ketua Pengarah Maritim Malaysia berkata tindakan pantas isteri kru berusia 24 tahun terbabit yang melaporkan kepada pihak maritim sebaik menyaksikan telefon bimbit suaminya dirampas oleh seorang individu ketika sedang membuat panggilan video, membantu pihak berkuasa menahan kesemua empat lelaki tempatan terbabit.
“Bot ronda Maritim tiba di lokasi kejadian pada 12.30 tengah malam Isnin selepas menerima laporan dan menemukan sebuah bot gentian kaca yang digunakan empat individu terbabit di bawah pelantar.
“Menyedari kehadiran bot ronda, empat individu terbabit bertindak menenggelamkan bot gentian kaca itu dipercayai untuk melupuskan bahan bukti, sebelum berpaut pada pelantar dan terjun ke laut, namun berjaya ditahan,” katanya pada sidang media di Zon Maritim Tanjung Sedili, di sini hari ini.
Beliau berkata kesemua lelaki berusia 27 hingga 47 tahun yang memakai topeng dan bersenjatakan parang itu, bukan sahaja bertindak menyerang dan menumbuk kedua-dua mangsa, malah menutup mulut, mengikat kaki dan tangan serta mengurung mangsa di dalam sebuah kabin.
Bagaimanapun Saiful Lizan berkata kedua-dua mangsa terbabit berjaya melepaskan ikatan selepas terkurung selama dua jam dan bertindak bersembunyi sehingga menunggu ketibaan pihak berkuasa.
Saiful Lizan berkata kesemua empat individu terbabit, dua daripadanya adik-beradik, sempat mencuri beberapa kabel logam, perkakasan kerja pelantar dan dua telefon bimbit milik kru terbabit, namun jumlah keseluruhan barang rompakan masih dalam siasatan.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati tiga daripada empat perompak yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau antaranya melibatkan kes dadah dan memiliki senjata berbahaya.
Kesemua mereka direman selama lima hari bermula semalam (25 April) dan kes disiasat mengikut Seksyen 391 Kanun Keseksaan.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.