PANGGILAN TIDAK BERJAWAB, BAPA SUDAH TIADA

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 9 Oktober – Pesara tentera ditemukan meninggal dunia dalam kereta dipandunya di hadapan sebuah klinik swasta di Cheng, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa Mohd Hisyam Omar, 50, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam yang melalui lokasi kejadian pada jam 7.30 malam sebelum memaklumkan perkara itu kepada polis.

Katanya, anggota polis yang tiba di lokasi kejadian kemudian melakukan pemeriksaan dalam Perodua Viva yang diparkir di hadapan klinik mendapati pemandunya iaitu seorang lelaki berada dalam keadaan tidak bernyawa.

Whatsapp Image 2024 10 09 At 6.25.31 Pm

ALLAHYARHAM Mohd Hisyam Omar ditemui meninggal dunia dalam Perodua Viva di hadapan sebuah klinik di Cheng.

“Terdahulu anak si mati memaklumkan dihubungi bapanya pada jam 10 pagi. Ketika itu mangsa memaklumkan kepada anaknya dia berasa seperti mahu pitam selain sempat memberitahu lokasinya iaitu di Lebuh Sungai Udang- Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) berhampiran Taman Desa Bertam.

“Khuatir berlaku perkara tidak diingini, anak mangsa cuba menghubungi semula bapanya, namun panggilan tidak diangkat sehinggalah jam 7 malam. Anak mangsa kemudian ke Balai Polis Sungai Udang, bagi membuat laporan bapanya masih tidak belum pulang meskipun sudah petang.

“Waris mangsa hanya mengetahui kejadian menimpa lelaki itu pada jam 8.30 malam, setakat ini hasil pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah, barangan peribadi mangsa juga masih dalam keadaan elok,” katanya.

Christopher berkata, pihaknya dimaklumkan mangsa sebelum ini tidak mempunyai rekod atau sejarah menghidap sebarang penyakit, mayatnya kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian.

“Hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa disebabkan ‘Coronary Artery Occlusion By Coronary Atheroma’ selain kes diklafikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

394
Kongsi :
Previous post PERMOHONAN MYKAD DI MELAKA MENINGKAT
Next post TAPAK BAHARU UNTUK PENIAGA TAMAN BUKIT TAMBUN PERDANA
Ubah saiz-+=