Panel 7 hakim tolak permohonan semakan Malaysiakini batal sabitan menghina, denda

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

PUTRAJAYA, 29 Mac – Panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan semakan Malaysiakini untuk membatalkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mendapati portal berita dalam talian itu bersalah menghina mahkamah menerusi penerbitan komen pembaca.

Panel yang diketuai Hakim Puan Sri Zaleha Yusof memutuskan bahawa hujah yang dibangkitkan dalam prosiding semakan hari ini oleh peguam Malaysiakini Datuk Malik Imtiaz Sarwar telah dikemukakan dalam prosiding komital di hadapan panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini dan telah dipertimbangkan.

Beliau berkata hujahan yang dibangkitkan oleh peguam gagal untuk meyakinkan mahkamah berhubung isu berkaitan dakwaan pelanggaran keadilan asasi.

Hakim Zaleha berkata memandangkan perkara itu adalah kes kepentingan awam, mahkamah tidak akan membuat sebarang perintah mengenai kos.

Hakim lain yang menganggotai panel itu ialah Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah. Prosiding itu dijalankan secara dalam talian.

Pada 19 Feb 2021 dalam keputusan majoriti 6-1, Mahkamah Persekutuan yang dianggotai tujuh hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf, mendapati Malaysiakini bersalah menghina mahkamah menerusi penerbitan komen pembaca dan syarikat itu diarah membayar denda RM500,000.

Mkini Dotcom Sdn Bhd membayar denda itu.

Pada 17 Jun 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan kebenaran ex-parte Jabatan Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom yang mengendalikan portal berita Malaysiakini serta Ketua Pengarang Malaysiakini Steven Gan berhubung komen lima pembaca mengenai satu artikel yang disiarkan oleh Malaysiakini pada 9 Jun, bertajuk “CJ orders all courts to be fully operational from July 1” yang disifatkan sebagai menyinggung perasaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan mendapati Gan tidak bersalah menghina mahkamah.

Dalam permohonan semakan yang difailkan oleh Mkini Dotcom, syarikat itu memohon mengetepikan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini dan meminta pendengaran semula prosiding menghina itu.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

753
Kongsi :
Previous post KPM perkenal kluster mata pelajaran dalam pengambilan guru secara ‘one-off’
Next post PPR Klebang siap pertengahan tahun hadapan
Ubah saiz-+=