Pandu mabuk, seorang mati, penyelia mengaku tidak bersalah
AYER KEROH 28 Dis- Seorang penyelia syarikat hiasan dalaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki 29 Nov lalu.
Tertuduh, Lee Han Wee, 42, mengaku tidak bersalah sejurus selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Azureen Sahira Saufee Afandi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah memandu kereta di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kemalangan dan kematian kepada Abdul Rahim Mohamad, 53.
Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 12.45 tengah malam di Jalan Limbongan dalam daerah Melaka Tengah pada 29 Nov lalu.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak lebih RM100,000 mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020).
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN), Ahmad Sazali Omar dan tertuduh yang diwakili peguam, Wan Nurul Nurain Wan M. Razali.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh telah membayar wang jaminan berkenaan.
Azureen Sahira menetapkan 27 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Dalam kemalangan itu, Abdul Rahim meninggal dunia di lokasi kejadian manakala tiga anaknya berusia antara 11 hingga 20 tahun cedera selepas kereta dinaiki dirempuh sebuah lagi kereta.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.