Sorting by

×

Pandu lalu kitar sampah jadi wang

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

KLEBANG 20 Februari – Selain meningkatkan kesedaran dan menjadikan penjagaan alam sekitar sebagai satu budaya inisiatif ‘Drive Thru Recycling Centre’ (DTRC) mampu memberi pulangan pendapatan kepada peserta yang mengambil bahagian.

Inisiatif itu terus diperkasakan lagi dengan pembukaan DTRC kedua di Taman Bukit Rambai selepas DTRC pertama di Masjid Tanah memulakan operasi pada tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Lim Ban Hong berkata DTRC berfungsi sebagai pusat pembelian dan pengumpulan barangan kitar semula secara kaedah pandu lalu.

“Kaedah ini diharap dapat menarik minat masyarakat di Negeri Melaka untuk menjadikan kitar semula sebagai satu budaya. Lebih menarik peserta mendapat pulangan tunai setiap kali menghantar barangan kitar semula ke DTRC.

“Sasaran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka adalah mewujudkan empat DTRC di Negeri Melaka,” katanya ketika berucap pada Program Pelancaran DTRC di Kabin Kelab Rukun Tetangga Taman Bukit Rambai, di sini, semalam.

Hadir sama pada program itu adalah Pengarah SWCorp Melaka, Khairuladha Ab Mutalib.

Turut menjayakan program itu adalah pelajar Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE) Universiti Utara Malaysia (UUM) Kampus Melaka, wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), SWM Environment Sdn. Bhd. serta Kelab Rukun Tetangga (KRT) Taman Bukit Rambai.

“Sepanjang 2022 DTRC Masjid Tanah berjaya mengumpul sebanyak 561 kilogram (kg) barangan kitar semula. Setakat Januari 2023 pula 239.5 kg barangan kitar semula dikumpul, peningkatan ini menunjukkan inisiatif dilaksanakan mula mendapat perhatian orang awam.

“Saya yakin DTRC Taman Bukit Ramai ini mampu mengumpul lebih banyak barangan kitar semula daripada peserta sekitar Melaka Tengah yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1850
Kongsi :
Previous post Jangan ‘simpan’, tapi kongsi bahan sejarah kepada umum
Next post Pantau buaya ‘viral’ berterusan selama dua bulan
Ubah saiz-+=