Pandemik COVID-19 serlah kebaikan rakyat Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Pandemik COVID-19 telah menyerlahkan kebaikan sesama rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang yang pelbagai, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata perkara itu berikutan hubungan simbiosis antara petugas barisan hadapan dan rakyat yang jelas ditunjukkan sepanjang negara dilanda wabak itu selain menyifatkan ia adalah contoh semangat patriotisme kebiasaan baharu.

“COVID-19 menyerlahkan kebaikan, masyarakat saling membantu tanpa mengira kaum dan agama serta ramai yang berbuat kebaikan lebih daripada kebiasaan.

“Sebagai contoh, pereka fesyen bila dengar Hospital Kuala Lumpur tidak cukup PPE (peralatan perlindungan diri) pada peringkat awal (gelombang wabak)…secara sukarela menjahit PPE untuk hospital.

“..itulah antara patriotisme norma baharu membabitkan semua pihak, rakyat, kerajaan, termasuk korporat bekerjasama dan saling bantu-membantu,” katanya dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertajuk ‘Selamat Hari Kebangsaan Malaysia Prihatin’ hari ini.

Jelasnya lagi, semangat patriotisme itu kekal dengan maksudnya iaitu cinta dan kasih pada negara, namun fokus yang sedikit berbeza mengikut peralihan zaman.

“Bagi mereka (rakyat) yang melalui zaman penjajahan, fokus patriotisme adalah membebaskan (tanah air), ketika sudah tubuh Malaysia ada konfrontasi, jadi fokus patriotisme masa itu untuk menyelamatkan negara yang baru sahaja ditubuhkan.

“Dulu kita pernah ada kegawatan ekonomi, jadi fokusnya adalah menghidupkan semula ekonomi, selepas peristiwa 13 Mei, fokus kepada perpaduan, dan ketika COVID-19 fokusnya pada keselamatan, kesejahteraan, kesihatan dan untuk memulihkan semula ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata walaupun tahun ini negara tidak dapat menyambut Hari Kebangsaan secara besar-besaran seperti tahun sebelumnya, tetapi sambutan cara lain tetap akan dibuat bagi memastikan semangat patriotisme terus diraikan.

Antaranya, kementerian telah mencipta #MomenNegaraku bagi menggalakkan orang awam berkongsi pengalaman terindah mereka sebagai rakyat Malaysia di media sosial masing-masing termasuk Twitter, Facebook dan Instagram. – BERNAMA

Views:

303
Kongsi :
Previous post Dilema mengembalikan warisan dan mengekalkan nama
Next post Yaakub diangkat Tokoh Maal Hijrah Negeri Melaka
Ubah saiz-+=