Sorting by

×

Pandelela sambut Krismas di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

KESIDANG 25 Dis. – Atlet terjun negara, Pandelela Rinong memilih Negeri Melaka sebagai lokasi untuk menyambut perayaan Krismas tahun ini.

Dia yang juga pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 meraikan perayaan Krismas di rumah rakan baiknya yang merupakan atlet gimnastik negara, Tracie Ang di Taman Jati, Batu Berendam.

Pandelela tiba di Melaka kira-kira jam 3 petang bersama-sama tiga lagi atlet olahraga negara iaitu Connie Choo Kang Ni, 26; Chuah Yu Tian, 27 dan Benedict Ian, 21.

Kehadiran mereka disambut mesra Tracie bersama keluarganya dan dijamukan dengan pelbagai juadah istimewa sempena Krismas.

Selain menjamu selera, mereka turut melakukan pelbagai aktiviti yang biasa dilakukan bersama keluarga dan rakan-rakan seperti membuat dekorasi kek dan pelbagai permainan istimewa lain.

Pandelela, anak jati Kuching, Sarawak, memaklumkan dia tidak dapat pulang ke kampung halamannya untuk menyambut Krismas ekoran kerajaan negeri itu mengenakan perintah kuarantin selama 10 hari terhadap orang ramai yang tiba dari luar Sarawak.

Bagaimanapun atlet berusia 27 tahun itu mengakui kerinduannya menyambut Krismas di kampung halaman sedikit terubat apabila dapat meraikan perayaan bersama sahabat handai.

“Memang terubatlah rindu sebab kedatangan saya ke sini disambut cukup meriah. Mereka menganggap saya seperti keluarga di sini.

“Sebelum ke sini saya juga telah membuat panggilan video bersama keluarga di Sarawak, jadi tiada istilah sunyi pada perayaan kali ini.

“Kita pun faham musim pandemik COVID-19, ada banyak perkara terbatas dan semua perayaan terpaksa disambut secara sederhana,” katanya yang kali terakhir pulang ke kampung halaman pada Jun lalu.

Mengulas mengenai perjalanan kariernya, Pandelela yang juga pemenang pingat gangsa Olimpik London 2012 berkata fokusnya kini terarah kepada latihan dan persiapan untuk menghadapi Siri Terjun Dunia FINA yang akan bermula pada Februari 2021.

Selain itu, dia juga akan mempersiapkan diri untuk Kejohanan Terjun Dunia FINA yang dijadual pada April tahun depan.

“Kedua-dua kejohanan ini bolehlah disifatkan sebagai aksi pemanas badan buat saya sebelum memberi tumpuan penuh kepada aksi Sukan Olimpik Tokyo yang dijadual berlangsung bermula 23 Julai hingga 8 Ogos 2021 nanti,” katanya lagi.

Untuk rekod, Pandelela sudah pun melayakkan diri ke Tokyo dalam acara 10 meter platfrom seirama bersama gandingannya Leong Mun Yee selain 10m platform individu.

Views:

1058
Kongsi :
Previous post Dinosaur Encounter tarik 1,000 pengunjung dalam tempoh sejam
Next post Kapal tunda terbakar, tujuh kru selamat
Ubah saiz-+=